Jangan jadikan pengambilan pekerja asing fenomena tetap - PM

Jangan jadikan pengambilan pekerja asing satu fenomena tetap – PM

ANWAR Ibrahim berucap pada majlis pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara perlu membuat perubahan dengan tidak menjadikan pengambilan pekerja asing sebagai satu fenomena tetap. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu supaya rakyat tempatan memperoleh pekerjaan dengan gaji yang setimpal seperti dalam perladangan dan sebagainya.

“Jangan kita anggap pengambilan pekerja asing itu sebagai satu fenomena yang tetap. Harus ada langkah-langkah seperti yang saya sebut, ada syarikat di bawah PNB yang guna mekanisasi dan akibatnya pekerja tempatan itu masuk, tentu gaji lebih tinggi kerana mekanisasi, ada usaha majikan dan kalau perlu kalau kita gunakan insentif tambahan untuk meminta majikan membuat penyesuaian dan pekerja tempatan senang menerima dengan gaji yang lebih tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Dalam hal ini, jelas Anwar lagi, kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan kementerian berkaitan bagi menyelesaikan isu ini. 

Malah, katanya, majikan juga perlu mencari penyelesaian agar tidak berlaku isu pengurangan pekerja sehingga merencatkan operasi sesebuah syarikat.

“Ladang-ladang, syarikat, restoran mengeluh kerana kurang pekerja, tunggu bertahun-bertahun, ladang pengeluaran terhambat, restoran ribuan ditutup. Kita masih tunggu keputusan cari pekerja tempatan, ia mesti dikaji dan dicari,” katanya lagi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, setakat 31 Januari tahun ini, seramai 141,144 orang suri rumah telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Jelasnya lagi, daripada jumlah tersebut, 135,281 orang adalah suri rumah yang berdaftar dengan e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP, di mana caruman SKSSR mereka ditaja oleh kerajaan selama setahun di bawah peruntukan Bajet 2022.

“Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama pelbagai pihak, akan terus melaksanakan aktiviti libat urus, program kesedaran, promosi dan sebagainya bagi memastikan rakyat Malaysia memahami tentang SKSSR dan perlindungan yang disediakan.

“Dalam masa yang sama turut memaklumkan seramai 294,044 daripada 879,601 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan melalui portal pekerjaan MyFutureJobs di bawah kendalian Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, perkembangan itu selaras dengan pengukuhan pasaran buruh tempatan yang terus menjana peluang pekerjaan berkualiti untuk bakat tempatan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya