Isu hantaran Facebook suami Tengku Maimun langkah terdesak - Utusan Malaysia

Isu hantaran Facebook suami Tengku Maimun langkah terdesak

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir bagi mewakili Najib Tun Razak dalam prosiding pendengaran permohonan anak guamnya untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan hantaran Facebook oleh peguam, Datuk Zamani Ibrahim sebagai alasan untuk menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat daripada mendengar rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu langkah terdesak.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram, hantaran dibuat oleh suami Ketua Hakim Negara itu hanyalah pandangan biasa seorang rakyat dan tidak menunjukkan sebarang sentimen peribadi yang negatif terhadap Najib.

Tambahnya, isi kandungan hantaran Facebook (Zamani) yang dibuat empat tahun lalu adalah jelas komen peribadi terhadap senario politik yang membawa kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Adalah menakjubkan perayu (Najib) hanya mengetahui mengenai hantaran itu pada 22 Ogos 2022, sehari sebelum pendengaran rayuan itu bersambung. Satu kebetulan yang menakjubkan perayu menemui hantaran tersebut beberapa jam sebelum keputusan rayuan akhir itu dibuat pada 23 Ogos 2022.

“Hakikatnya, mereka mengetahui mengenai hantaran tersebut lebih awal namun memutuskan isu tersebut tidak berbaloi untuk dijadikan asas untuk menyingkirkan Hakim Tengku Maimun. Menggunakan alasan tersebut di saat-saat akhir menunjukkan mereka terdesak untuk menangguhkan perbicaraan,” kata pendakwa raya itu.

Pada 23 Ogos tahun lalu, peguam terdahulu Najib, Datuk Hisyam Tek Poh Teik membuat permohonan agar Hakim Tengku Maimun menarik diri daripada terus mendengar rayuan akhir atas dakwaan pertimbangan Ketua Hakim Negara itu mungkin dipengaruhi sentimen negatif suaminya.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Tengku Maimun atas alasan tidak wujud sebarang elemen berat sebelah yang timbul daripada hantaran yang dibuat oleh suami Hakim Tengku Maimun, empat tahun lalu.

Selain itu, Sithambaram dalam hujahannya menyatakan, dakwaan bahawa Hakim Tengku Maimun boleh dipengaruhi dengan sentimen yang ditunjukkan dalam hantaran Facebook suaminya adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak berupaya menimbulkan sebarang keraguan wujudnya pandangan berat sebelah.

“Sewaktu hantaran itu dibuat, pendakwaan berkaitan dengan penyelewengan dana SRC International masih belum berlaku.

“(Perayu) perlu menunjukkan bahawa pandangan pasangan hakim itu terlalu rapat dan terus sehingga boleh menjejaskan pandangan hakim terbabit sehingga tidak boleh dibezakan,” katanya.

Hujahan tersebut dibuat Sithambaram pada prosiding semakan oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukumannya selepas didapati bersalah atas pelbagai tuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dalam rayuan akhirnya pada Ogos tahun lalu.

Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Hakim Tengku Maimun mengekal sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang.

Prosiding yang didengar oleh panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli dan bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais bersambung Isnin ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.