Isteri buntu suami perlu RM50,000 untuk pembedahan kanser lidah

Isteri buntu suami perlu RM50,000 untuk pembedahan kanser lidah

NIK Mohd. Noor Azwan Mustapha (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada Zuraidi Mohamad di Kampung Paloh, Tumpat Kelantan hari ini.- UTUSAN/ FOTO ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang isteri dari Kampung Paloh di sini  buntu memikirkan nasib suaminya yang memerlukan perbelanjaan sebanyak RM50,000 untuk membiayai kos pembedahan selepas menghidap penyakit kanser lidah tahap empat.

Wan Roslina Wan Hamat, 43, berkata, peringkat awal suami suaminya Zuraidi Mohamad, 43, mengadu sakit pada bahagian lidah akibat kesan ‘melecur’ seakan-akan ulser.

Menurutnya, sebagai ikhtiar awal suami hanya bergantung kepada ubat yang dibeli di farmasi bagi membantu meredakan kesakitan tersebut.

“Saya hanya mengetahui penyakit yang dialami oleh suami selepas dia menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada Disember tahun lalu. Hasil sampel yang diambil pada bahagian lidah, doktor mengesahkan suami menghidap kanser lidah tahap empat.

“Keadaan suami semakin teruk sejak kebelakangan ini apabila dia tidak boleh bercakap, selain hanya mampu menelan makanan lembut setiap kali makan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nik Mohd. Noor Azwan Mustapha bersama rombongannya hadir memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Wan Roslina memberitahu, susulan itu suaminya memerlukan rawatan segera di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Bertam, Pulau Pinang.

Katanya, keseluruhan kos rawatan itu berjumlah RM50,000 dan peringkat dia awal memerlukan sebanyak RM36,000.

“Setakat ini, ahli keluarga dan saudara mara membantu, selain orang ramai yang sudi menderma bagi kos rawatan tersebut, namun masih belum mencukupi.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai kopi dengan mentua, namun terpaksa berhenti sementara waktu kerana menguruskan suami yang sakit,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank milik Zuraidi Mohamad 151258276031.-utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN