‘Iklan banyak, panggilan temu duga tiada’

‘Iklan banyak, panggilan temu duga tiada’

MUHAMMAD FAKHRI SYAZWAN Mohd. Samsol kini bekerja sebagai penghantar makanan selepas lebih lima kali menghadiri temu duga untuk mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelulusannya. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Iklan jawatan kosong yang bertebaran terutama dalam platform media sosial langsung tidak mencerminkan situasi sebenar dihadapi pencari kerja terutama graduan di negara ini.

Seorang graduan, Muhammad Afiq Zulhelmi Karim, 27, mengakui buntu apabila masih belum ada syarikat memanggilnya untuk menghadiri temu duga, walaupun setiap hari dia memohon pekerjaan secara dalam talian.

Menurut alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu, dia memohon sehingga 30 pekerjaan sehari yang berkaitan dengan jurusan Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Industri Automasi) sejak berada di semester akhir, namun sehingga kini belum membuahkan hasil.

MUHAMMAD AFIQ ZULHELMI KARIM

“Saya sudah membuat persediaan awal ke alam pekerjaan dengan mencari jawatan kosong ketika masih menjalani latihan industri.

“Setakat ini masih belum ada maklum balas daripada mana-mana syarikat, melainkan pemberitahuan permohonan saya sedang dalam penilaian. Bagi permohonan di agensi atau anak syarikat kerajaan negeri, kekosongan yang ditawarkan sangat sedikit biasanya antara satu dan dua jawatan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu seorang penghantar makanan, Muhammad Fakhri Syazwan Mohd. Samsol, 19, berkata, dia yang hampir setahun mencari pekerjaan tetap pernah ditawarkan beberapa jawatan oleh pihak industri, tetapi kesemuanya tidak berkaitan dengan kelulusan dimiliki.

Kata lulusan Kolej Vokasional (KV) Melaka Tengah itu, sepanjang tempoh itu dia telah menghadiri lebih lima temu duga secara bersemuka.

“Saya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dalam jurusan automotif. Apabila ditawarkan pekerjaan, saya lihat skop kerja tidak sama seperti kelulusan yang saya miliki.

“Selain itu, gaji yang ditawarkan juga tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa terutamanya untuk lokasi pekerjaan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Bagaimana hendak bekerja dengan tenang jika tenaga dikerah tanpa bayaran yang sepatutnya?

“Saya bukan hendak memilih, tapi sekurang-kurangnya tawarkan kerja yang bersesuaian dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki. Setidak-tidaknya saya boleh menimba ilmu dan pengalaman kerja berkaitan sebagai nilai tambah kerjaya pada masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya