Gudang simpan makanan musnah terbakar - Utusan Malaysia

Gudang simpan makanan musnah terbakar

KEADAAN kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan makanan di Lorong Perak, Jelutong, Pulau Pinang dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam ini. - Pix: IHSAN JBPM PULAU PINANG

GEORGE TOWN: Sebuah gudang penyimpanan makanan di Lorong Perak, Jelutong di sini musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 8 malam ini.

Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.28 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, ujarnya, kejadian kebakaran itu didapati melibatkan sebuah gudang simpanan makanan (kelas B) dengan anggaran keluasan kira-kira 12 x 15 meter persegi.

“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran pada masa ini adalah 80 peratus dan kebakaran telah dapat dikawal pukul 8.57 malam.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran masih dilakukan dan kejadian ini tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tambahnya, kerja-kerja memadam kebakaran dilakukan oleh anggota JBPM Jalan Perak; Lebuh Pantai dan Paya Terubong dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN