Filem Pulau diharamkan di Terengganu ikut garis panduan syariah - Utusan Malaysia

Filem Pulau diharamkan di Terengganu ikut garis panduan syariah

FILEM Pulau yang mengundang pelbagai tanggapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keputusan kerajaan negeri Terengganu mengharamkan tayangan filem ‘Pulau’ di semua pawagam di negeri ini tepat mengikut garis panduan pelaksanaan syariah yang ditetapkan selama ini.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd. Harun Esa berkata, pengharaman itu adalah satu isyarat yang jelas kepada semua pengamal seni dan industri-industri lain yang ingin mengadakan sebarang kerjasama dengan kerajaan negeri agar mematuhi garis panduan tersebut.

“Dewan Pemuda Pas Terengganu mengucapkan penghargaan terhadap keputusan kerajaan negeri Terengganu untuk mengharamkan tayangan filem ‘Pulau’ ini.

“Kita juga berharap agar semua kerajaan negeri yang ada di Malaysia mengikut jejak langkah yang telah dibuat kerajaan Terengganu ini.

“Ia juga adalah isyarat bahawa kita menolak budaya tidak senonoh dan adegan melampau yang akan merosakkan minda bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, penerbit filem Pulau, Fred Chong dilaporkan berkata, pihaknya sedia bertemu pimpinan kerajaan negeri Terengganu dan telah menyiapkan surat rayuan serta menunggu surat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk Terengganu meneliti semula keputusan tersebut.

Chong berkata, dia bersedia terbang ke Kuala Terengganu bersama wakil Finas dalam masa terdekat untuk membuat rayuan, sekali gus menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar penilaian boleh dilakukan, sama ada filem itu mempunyai unsur ‘soft porn’ atau sebaliknya.

Mohd. Harun memberitahu, tindakan kerajaan negeri itu diambil mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu sejak Mac 2020.

Jelasnya, pelaksanaan garis panduan itu bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di negeri itu mengikut syariat Islam.

“Garis panduan tersebut diwujudkan hasil perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Mufti dan ia turut diedarkan kepada semua jabatan serta agensi kerajaan sebagai rujukan.

“Berikutan itu, semua penganjuran serta penyertaan sebarang bentuk aktiviti hiburan, persembahan kebudayaan, pelancongan dan sukan perlu mengikut garis panduan ditetapkan agar tidak menyalahi akidah dan syariat Islam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya