Empat peruntukan bawa makna besar buat Melaka - Sulaiman

Empat peruntukan bawa makna besar buat Melaka – Sulaiman

MoU berkenaan dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM30 juta kepada sektor pelancongan Melaka pada akhir tahun hadapan dengan kehadiran pelawat mencecah 21,000 orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Empat peruntukan berhubung pembangunan Melaka yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2023 semalam, memberi manfaat besar kepada rakyat dan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, antara inisiatif yang bakal membawa impak besar adalah peruntukan naik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok dengan kos berjumlah RM300 juta.

Beliau berkata, Melaka juga bakal diperuntukkan RM50 juta bersama Pulau Pinang untuk terus kekal dalam pemuliharaan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Empat peruntukan yang disebutkan membabitkan infrastruktur, pelancongan, kemudahan awam dan kesihatan itu membawa pengertian cukup besar kepada Melaka.

“Selain itu, Melaka juga menerima peruntukan RM150 juta untuk memperluas Program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST) bersama Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah serta yang paling utama, peruntukan berjumlah RM700 juta bagi membangunkan hospital wanita dan kanak-kanak.

“Justeru, bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Belanjawan 2023 melibatkan RM388.1 bilion merangkumi RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM99 bilion bagi pembangunan, peruntukan terbesar dalam sejarah 65 tahun negara ini.

Pendidikan, kesihatan, keselamatan sosial, kemiskinan tegar, kemantapan ekonomi dan pembangunan infrastruktur kritikal mendapat perhatian paling besar dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, semalam.

Sektor pendidikan menjadi penerima dana terbesar membabitkan peruntukan RM55.2 bilion yang akan menyaksikan lebih 380 sekolah daif tanpa mengira aliran akan dipulihkan, dan akan memastikan kualiti pembelajaran ratusan ribu pelajar.

Kerajaan Perpaduan juga memperuntukkan RM36.3 bilion untuk sektor kesihatan yang sebelum ini dibelenggu masalah kekurangan jawatan doktor tetap dan kemudahan yang uzur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN