Emilia diarah beri keterangan dakwa dipukul S.M Faisal - Utusan Malaysia

Emilia diarah beri keterangan dakwa dipukul S.M Faisal

EMILIA Hanafi hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pukul melibatkan bekas suaminya S.M Faisal S.M Nasimuddin. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Emilia Hanafi yang mendakwa dipukul bekas suaminya, Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin, dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nadia Othman memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili S.M Faisal agar Emilia memberi keterangan terlebih dahulu kerana wanita itu merupakan saksi utama dan pengadu kes.

“Kes sejak 2016 (pertuduhan) dan 2021 bermula perbicaraan. Mahkamah tidak pernah melapangkan kes ini, pihak-pihak (pendakwaan dan pembelaan) yang memohon perkara berkenaan. Mahkamah bersedia mendengar kes ini tanpa gangguan.

“Tiada alasan munasabah dikemukakan (tidak panggil Emilia beri keterangan), mahkamah tangguh bicara ke 2.30 petang ini untuk kemukakan saksi (Emilia).

“Saya juga ingin mengingatkan dan memberi amaran keras supaya mana-mana pihak tidak memuat naik (posting di media sosial) yang boleh ganggu perjalanan kes,” kata majistret itu.

Terdahulu Akberdin berhujah, Emilia perlu dipanggil terlebih dahulu kerana beliau merupakan saksi utama manakala keterangannya penting untuk mengesahkan fakta berkaitan hari kejadian yang didakwa berlaku pada 22 November 2015.

“Pengadu perlu dipanggil terlebih dahulu demi kepentingan keadilan kerana isu ini sedikit sebanyak memprejudiskan anak guam kami kerana terdapat banyak dokumen pihak pembelaan berkait rapat dengan pengadu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, pengadu seharusnya dipanggil dahulu berbanding dengan saksi-saksi pendakwaan lain kerana keterangan mereka hanya sekadar sokongan untuk mengesahkan kejadian tersebut.

“Sudah menjadi amalan kebiasaan bahawa di dalam kes pukul mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, mangsa akan dipanggil dahulu sebagai saksi utama pendakwaan bagi memberikan keterangannya” kata peguam itu lagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin membantah permohonan pihak pembelaan atas alasan, saksi pendakwaan keenam (SP6) Elisa Nani Hanafi, 38, yang juga adik Emilia masih belum disoal balas oleh pihak pembelaan.

“SP6 masih belum selesai memberi keterangan, sepatutnya selesaikan dahulu saksi ini kemudian baharu dipanggil saksi-saksi lain, bukannya ‘lompat-lompat’,” katanya.

Dalam prosiding terdahulu, Elisa Nani yang juga bekas adik ipar S.M Faisal memberitahu, kakaknya Emilia pernah bercerita tujuh tahun lalu bahawa dia selalu dipukul oleh suaminya secara berterusan selama tiga hingga empat tahun.

Mengikut pertuduhan, S.M Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 November 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya