Dua kejadian pokok tumbang di ibu negara

Dua kejadian pokok tumbang di ibu negara

PERODUA Aruz dihempap pokok akibat hujan lebat di Taman Pagar Ruyung di ibu negara petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua cedera manakala tiga termasuk dua kanak-kanak selamat selepas kenderaan dinaiki ditimpa pokok tumbang dalam kejadian berasingan di Taman Pagar Ruyung dan berhampiran Masjid Negara, Bukit Aman, dekat sini, petang semalam.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Sohirol Rizal Madon, kejadian pertama berlaku di Jalan 2/115A, Taman Pagar Ruyung pada 5.05 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa.

“Sebaik tiba pada 5.15 petang didapati dua kereta Perodua Aruz dan Toyota Vios dihempap pokok tumbang.

“Kita mendapati seorang pemandu bersama dua kanak-kanak dalam Perodua Aruz dan seorang pemandu dalam Toyota Vios,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kesemua mangsa terlebih dahulu diselamatkan orang awam.

“Seorang mangsa lelaki dewasa mengalami cedera ringan serta sesak nafas dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.

Dalam kejadian berasingan, berlaku pokok tumbang berhampiran Masjid Negara pada pada 5 petang dan satu jentera bersama tujuh anggota dari BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

Komander Operasi JBPM Kuala Lumpur, Omar Chekku berkata, anggota berjaya mengeluarkan pemandu wanita yang tersepit dalam Proton Exora yang remuk dalam kejadian itu.

“Mangsa cedera ringan dan dihantar dengan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan,” katanya.

Anggota bomba yang berada di kedua-dua lokasi kejadian kemudian memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang dibantu petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membuka laluan yang terhalang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN