Dua didakwa guna IC palsu orang lain beli motosikal Yamaha - Utusan Malaysia

Dua didakwa guna IC palsu orang lain beli motosikal Yamaha

HERMAN Yusof (tengah) dan Hermawati Arif (belakang, baju hijau) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Temerloh setelah didakwa atas kesalahan menggunakan dokumen palsu pembelian motosikal Yamaha Y16ZR di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh di sini hari ini atas dua pertuduhan menyamar dan menipu dengan menggunakan dokumen palsu kad pengenalan orang lain bagi pembelian sebuah motosikal Yamaha jenis Y16ZR pada 23  Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Herman Yusof, 30, memahami dan memohon untuk dibicara selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majisterst Tan Chiew King.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan kesalahan menipu dengan jalan samaran dengan menggunakan identiti Faisal Hanif Rusli untuk membuat pembelian sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR pada 23 Ogos tahun lalu pada pukul 1.20 petang, di sebuah premis jualan motosikal di Temerloh.

Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 429 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu iaitu kad pengenalan atas nama Faisal Hanif Rusli atas kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kedua-dua kertas pertuduhan yang dibaca terhadap Herman, Majistret menetapkan wang jaminan keseluruhan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap Isnin pertama setiap bulan.

Sementara itu, rakannya, Hermawati Arif, 29, didakwa bersubahat membantu Herman untuk mendapatkan dan memiliki kad pengenalan palsu atas nama Faisal Hanif Rusli atas kesalahan di bawah Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh di hukum di bawah seksyen yang sama.

Hermawati mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca juru bahasa, dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan denda.

Majistret membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin pencagar.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mazieera Ra Sharifudin.

Majistret menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya