PETALING JAYA: Kemelut politik di Sabah mungkin akan berakhir ekoran ketetapan Barisan Nasional (BN) yang memberi sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri bagi kestabilan kerajaan perpaduan di negeri itu.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berpendapat, langkah BN itu adalah bagi mengurangkan ketegangan politik yang berlaku sebelum ini.
Pensyarah Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu juga berkata, keputusan menamakan Datuk Yakub Khan sebagai wakil UMNO dalam perundingan dengan kerajaan perpaduan Sabah merupakan usaha menonjolkan pelapis pemimpin UMNO di Sabah.
“Pemilihan Yakub Khan dilihat secara tidak langsung menjadi strategi bagi mengurangkan sedikit ketegangan politik yang berlaku, bermula daripada Langkah Kinabalu antara Bung Mokhtar dan Hajiji.
“Saya percaya keputusan itu dibuat secara kolektif yang turut dipersetujui oleh Bung Moktar dan UMNO peringkat persekutuan bagi menunjukkan kesediaan mereka bekerjasama sebagai kerajaan perpaduan Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, BN mengambil ketetapan untuk mendukung kerajaan perpaduan Sabah pimpinan Hajiji dan menamakan Yakub Khan sebagai wakil perundingan UMNO dengan kerajaan perpaduan.
Sementara itu, penganalisis politik, Tony Paridi Bagang berkata, UMNO Sabah tidak mempunyai pilihan selain menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya ingin kekal mendapat tempat dan ia jelas menunjukkan harapan UMNO peringkat persekutuan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pepaduan Sabah.
“Langkah Kinabalu telah menjejaskan imej Bung dan memberi impak terhadap BN dan UMNO Sabah.
“Untuk memperbaikinya, Bung dijangkakan tidak akan berada di barisan hadapan dan seseorang perlu menggantikannya. Malah, keputusan itu mungkin bukan mengetepikan Bung tetapi hanya sekadar kompromi politik bagi memperbetulkan keadaan politik di Sabah,” jelasnya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah menambah, semuanya bergantung terhadap kepimpinan GRS dan keikhlasan serta usaha UMNO Sabah untuk ‘menampal’ kerosakan yang berlaku akibat Langkah Kinabalu.
Dalam pada itu, penyelidik di Unit Kajian Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes), UMS, Prof. Madya Dr. Ramli Dollah berkata, keputusan BN itu adalah tindakan yang tepat dan strategi politik terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di Sabah.
“BN memerlukan seorang pemimpin yang dilihat ‘neutral’ dalam apa-apa rundingan bersama kerajaan perpaduan Sabah.
“Dalam masa sama, saya melihat pelantikan Yakub Khan ini tidak akan memberi kesan besar terhadap kekuatan BN dan kedudukan Bung Moktar secara keseluruhan,” ujarnya. – UTUSAN










