Cubaan seleweng diesel guna lori tangki sewa gagal - Utusan Malaysia

Cubaan seleweng diesel guna lori tangki sewa gagal

S. JEGAN (kanan) dan A. Mogan menunjukkan hos seakan-akan menyerupai tangga yang digunakan untuk menyeleweng diesel dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Tindakan dua lelaki yang menyewa sebuah lori tangki untuk menyeleweng diesel membawa padah apabila mereka ditahan penguat kuasa Kementerian Perdangangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah stesen minyak di Juru, di sini petang semalam.

Dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia sekitar 20-an dan 30-an itu ditahan pada pukul 4.40 petang ketika sedang mengisi minyak diesel di stesen terbabit.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, pemeriksaan ke atas lori tangki itu dilakukan hasil unit risikan yang dijalankan sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati, lori itu mempunyai satu unit tangki besi berkapasiti 39,000 kg yang digunakan untuk mengisi diesel.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai 500 liter diesel yang sudah diisi ke dalam tangki terbabit.

“Lebih unik, modus operandi yang digunakan untuk mengaburi mata penguat kuasa adalah dengan meletakkan hos minyak di bahagian luar yang sekilas pandang kelihatan seperti tangga lori tangki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Pulau Pinang, A. Mogan.

Jegan berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan itu termasuk lori tangki, diesel, pam motor, hos, telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dianggarkan berjumlah RM75,625.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, katanya, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya