Belanjawan 2023: Sektor agro makanan perlu dirombak - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023: Sektor agro makanan perlu dirombak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sektor agro makanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan dalam mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta berasaskan pertanian berskala besar antara lain melalui penyediaan insentif, tanah, pembiayaan dan geran teknologi bagi memastikan bekalan makanan pada harga berpatutan, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan supaya berskala besar dan berdaya saing.

Beliau menjelaskan, kerajaan bercadang supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk projek tanaman makanan.

Katanya, hal itu setelah hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan tanaman makanan berbanding tujuh juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah.

“Kementerian Pertahanan dan LTAT berserta syarikat lain juga akan melaksanakan projek peningkatan pertanian bijirin jagung domestik selain untuk meningkatkan keterjaminan makanan, malah memberi peluang kerjaya kepada veteran tentera. LTAT menyediakan 70 ekar tanah perladangan untuk melaksanakan projek ini.

“Kerajaan juga akan menyediakan RM30 juta untuk bekerjasama dengan beberapa Kerajaan negeri bagi melaksanakan projek-projek agro makanan,” katanya.

Menurut Anwar lagi, sektor agro makanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan dalam mendepani kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN