Belanjawan 2023: RM127 juta untuk industri kreatif, seni dan budaya - Utusan Malaysia

Belanjawan 2023: RM127 juta untuk industri kreatif, seni dan budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memperuntukkan RM127 juta sebagai tekad mendukung usaha penggiat seni kreatif dalam mengangkat bidang kesenian dan kebudayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM102 juta disediakan untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.

Malah, kerajaan bercadang agar sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diberi potongan cukai, selain duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan.

“Aktiviti kebudayaan berperanan besar dalam melahirkan masyarakat madani yang saling menghormati dan bersatu padu. Ini juga penting bagi menyuburkan kepelbagaian khazanah seni yang telah kita warisi zaman-berzaman.

“Oleh itu, kerajaan menyediakan dana RM25 juta bagi menyemarak kegiatan kebudayaan dan kesenian di peringkat komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju supaya Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Yayasan Karyawan diberi mandat mempergiat aktiviti terjemahan.

“Sejumlah RM20 juta disediakan bagi tujuan tersebut. Setiap agensi berperanan menjadikan terjemahan sebagai bahan bacaan yang disukai ramai.

“Aktiviti penerbitan bermutu tinggi oleh penulis tempatan juga akan ditingkatkan,” ujarnya.

Tambah Anwar, kerajaan turut mengumumkan langkah pemerkasaan budaya dimulai dengan budaya iqra’ bagi memupuk minat membaca karya-karya klasik dan agung yang melibatkan khazanah alam Melayu, dunia Islam dan Barat.

“Kerajaan menyokong usaha menyubur dan menterjemah karya agung seperti karya-karya Imam Al- Ghazali, penggagas Maqasid Syariah Abu Ishaq al-Shatibi, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani, dan Nuruddin Ali ar- Raniri, pemikir, sasterawan dan fialsuf Muhammad Iqbal,” umum Anwar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN