PETALING JAYA: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) berharap pihak pengurusan dan penerbit yang menerima suntikan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada kerajaan bersikap adil dan telus.
Presiden Profima, Khalil Salleh berkata, pihaknya sangat mengambil berat perkara itu dan berharap setiap kru produksi dibayar setimpal harga seperti dijanjikan dalam kertas kerja yang dibentangkan.
“Kalau pada peringkat awal semasa sesi penyediaan kertas kerja nama kru tertentu dicadangkan, maka kru yang sama juga perlu diambil nanti.
“Kita sangat berharap berlaku ketelusan dalam pemberian dana sebab ia adalah suntikan yang diberikan kerjaaan. Sebenarnya, pihak penerbit juga perlu mengeluarkan modal sendiri, pada masa sama bijak menguruskan dana yang diterima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khalil turut memuji usaha kerajaan mengekalkan dan menyambung perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi membolehkan semua pekerja filem menikmati inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jelasnya, Profima adalah ejen korporat Perkeso yang sah dan aktif serta menyasarkan lebih ramai pekerja filem membuat pendaftaran demi memastikan keselamatan ketika bekerja terjamin dan mendapat perlindungan sepenuhnya.
“Setakat ini, lebih 1,000 kru dan penggiat filem sudah membuat caruman. Kita menyasarkan 7,000 lagi ahli dapat mengambil langkah sama.
“Kita akan berkempen dengan lebih aktif bagi menggalakkan lebih ramai kru produksi mendaftar. Ini kerana, caruman yang dikenakan sangat murah selepas diberikan subsidi oleh kerajaan,” jelasnya.
Semalam, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM127 juta sebagai tekad mendukung usaha penggiat seni kreatif dalam mengangkat bidang kesenian dan kebudayaan menerusi pembentangan Belanjawan 2023.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DKD berjumlah RM102 juta disediakan untuk mempergiat pemasaran produk seni tempatan dan mendorong penghasilan lebih banyak karya kreatif.
Malah, kerajaan bercadang agar sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan diberi potongan cukai, selain duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan dikecualikan.