KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka boleh jimat sehingga RM3 bilion jika projek kerajaan perolehan kerajaan dilakukan secara telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru kerajaan membuat keputusan projek tebatan banjir RM15 bilion dan Jana Wibawa RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini dibatalkan.
“Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sehingga RM3 bilion ringgit. Penjimatan besar seperti ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023.
Kata Anwar, pelaksanaan perolehan kerajaan mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik.
“Tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus,” katanya. – UTUSAN