Bekas pemandu teksi dipenjara 20 tahun, 16 sebatan - Utusan Malaysia

Bekas pemandu teksi dipenjara 20 tahun, 16 sebatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan ke atas seorang bekas pemandu teksi atas dua kesalahan merogol dan mengugut seorang pelancong wanita warganegara Indonesia di sebuah hotel, lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said selepas menolak rayuan akhir Abdul Ghani Abdul Karim, 48, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

“Mahkamah mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini adalah selamat. Tiada sebab untuk mengganggu dapatan mahkamah (Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi ) terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

“Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini dikekalkan bagi kedua-dua pertuduhan,” kata Hakim Kamaludin.

Keputusan itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Supang Lian.

Mengikut pertuduhan pertama, Abdul Ghani didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 29 tahun di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh di ibu negara di antara pukul 1.30 pagi dan 2 pagi pada 24 Disember 2018.

Abdul Ghani didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Abdul Ghani didakwa mengugut hendak menyebabkan kematian dengan menggunakan pemutar skru terhadap mangsa pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan bagi pertuduhan merogol manakala penjara tujuh tahun bagi kesalahan mengugut.

Kesemua hukuman penjara itu diperintah berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum iaitu pada 23 Julai 2020.

Pada 20 Mei 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol berhujah, kesalahan yang dilakukan bukan kali pertama kerana perayu pernah dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan sama.

Bagaimanapun peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili perayu memohon hukuman dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai seorang ibu yang uzur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN