KOTA KINABALU: Bekas Ketua Wanita Parti Warisan (Warisan) Norazlinah Arif menyatakan kesediaan untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulannya tindakannya meninggalkan parti baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak itu berkata, sekiranya Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mempunyai bukti kukuh bahawa beliau menerima imbuhan bagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor maka, beliau sedia untuk disiasat.
“Saya mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya Mohd. Shafie mempunyai bukti kukuh.
“Sebelum ini sudah beberapa kali saya menafikan bahawa ini adalah difitnah dan saya berani bertindak untuk membuat laporan polis.
“Saya keluar Warisan dengan rela hati kerana tidak lagi setuju dengan hala tuju parti yang tidak konsisten. Tapi sekiranya ada bukti boleh laporkan secara rasmi kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan.
Norazlinah berkata, sejak akhir-akhir ini tindakan Warisan yang enggan menyatakan sokongan seperti dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sehingga membawa kepada insiden Langkah Kinabalu dan perkara ini tidak sihat untuk Sabah.
Menurut beliau, keadaan polemik politik sebegini perlu berakhir agar semua ADUN diberikan peluang untuk menjalankan tugas serta memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.
“Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan secara terperinci….jangan heret ADUN serta parti ke kancah perebutan kuasa,” katanya.-utusan