Bekas ADUN Sanglang cedera dipukul di masjid - Utusan Malaysia

Bekas ADUN Sanglang cedera dipukul di masjid

MD. Zain Hamzah cedera pada bahagian kepala selepas dipercayai dipukul seoang lelaki menggunakan kerusi kecil di Masjid Alwi di Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang cedera pada bahagian kepala selepas diserang seorang lelaki dipercayai bermasalah mental di Masjid Alwi, Pusat Bandar Kangar di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Datuk Md. Zain Hamzah, 86, mengalami kecederaan di bahagian kepada selepas dipukul lelaki terbabit di dalam kawasan masjid berkenaan.

Md. Zain pernah menjadi ADUN Sanglang selama dua penggal sejak 1978 hingga 1986 di bawah tiket Barisan Nasional (BN).

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pada mulanya, mangsa berada di dalam kenderaan untuk mendengar tazkirah sehingga pukul 5.30 pagi.

“Setelah selesai, mangsa sedang menuju ke arah hadapan masjid untuk mengisi duit ke dalam tabung anak yatim sebelum didatangi oleh seorang lelaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, suspek dalam keadaan yang sedang mengamuk kemudian menyerang serta memukul mangsa menyebabkan warga emas itu terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian sebelah kanan kepala.

Tambahnya, pada masa sama, mangsa melarikan diri ke satu tempat untuk mengelak dipukul oleh suspek.

Menurut Yusharifuddin, mangsa kemudiannya meminta bantuan kepada pengawal keselamatan masjid itu untuk menghubungi pihak kecemasan dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa mengalami luka tidak serius pada bahagian atas kepala disyaki dipukul menggunakan kerusi kecil dan masih menerima rawatan di hospital.

“Polis kemudiannya bertindak menahan seorang lelaki berusia 65 tahun yang ditahan di masjid berkenaan dan motif serangan sedang disiasat. Suspek juga dipercayai mengalami masalah mental,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.