PETALING JAYA : Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru lahir ditinggalkan dalam beg di depan pagar sebuah rumah kebajikan di Taman Ferngrove Batu 9 Cheras, dekat sini hari ini.
Kejadian itu disedari kira-kira pukul 6.45 pagi oleh seorang paderi yang menguruskan rumah kebajikan terbabit sebelum satu laporan polis dibuat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati terdapat seorang wanita yang meletakkan beg di pagar rumah kebajikan terbabit pada pukul 5.57 pagi sebelum beredar.
“Pemeriksaan terhadap bayi perempuan itu mendapati tali pusatnya telah dipotong.
“Dipercayai bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu berusia satu hingga dua hari,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengesan wanita terbabit atau individu terlibat dalam kes itu.
Katanya, sehubungan itu orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diseru untuk tampil membantu dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 0169985730.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.-utusan










