Bawah pokok nangka baru ada capaian internet

Bawah pokok nangka baru ada capaian internet

PENDUDUK terpaksa melayari internet di kawasan berbukit dan bawah pokok nangka bagi mendapatkan liputan di Kampung Lebur, Kuala Betis,Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis di sini menghadapi masalah talian telefon dan capaian internet yang lemah sejak hampir 10 tahun lalu.

Masalah tersebut berlaku apabila kampung berkenaan tiada pencawang dan perlu menumpang menara telekomunikasi Kuala Betis yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu.

Seorang penduduk, Mohd. Kamaruddin Awang, 48, berkata, penduduk bukan sahaja perlu ke lokasi berbukit, malah mereka terpaksa duduk di kawasan pokok nangka di halaman rumah untuk memperoleh capaian internet.

Katanya, kemudahan talian telefon dan internet yang lemah menyebabkan penduduk melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mendapat capaian rangkaian telekomunikasi.

“Kami terpaksa mencari liputan talian di segenap kawasan rumah agar mendapat internet pantas dan perhubungan menerusi aplikasi komunikasi.

“Sekiranya mahu capaian internet yang baik, saya dan keluarga terpaksa duduk di atas pangkin di bawah pokok nangka di depan rumah. Liputan di situ juga tidak stabil dan kadangkala terputus,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Ziey Darwish, 28, pula berkata, penduduk terpaksa bergerak di kawasan halaman rumah sambil memegang telefon untuk mencari lokasi yang mempunyai capaian internet lebih baik dan stabil.

Katanya, meskipun menunjukkan rangkaian 4G pada skrin telefon pintar, internet di kampung itu tetap perlahan sehingga menyukarkan segala aspek perhubungan.

“Baru-baru ini, kami ada masalah dengan gangguan gajah liar yang masuk ke kampung. Kami sukar melaporkan kepada pihak berkuasa kerana liputan telekomunikasi terhad.

“Kami hairan apabila liputan internet sudah menunjukkan isyarat 4G, tetapi rangkaiannya tidak boleh digunakan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Samsudin Ibrahim, 44, berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat membina satu menara telekomunikasi untuk kemudahan penduduk berhubung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya