KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyebabkan kematian bayi sulungnya yang berusia tiga bulan, pada awal Januari lalu.
Tertuduh, Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, turut diperintahkan untuk menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam bermula hari ini.
Pada 31 Januari lalu, tertuduh Amirul Hakim mengaku bersalah atas pertuduhan dengan cuai menyebabkan kematian anak lelakinya itu akibat kecederaan di bahagian kepala pada pukul 4.15 petang, 3 Januari lalu di kediaman mereka di Gombak dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Hari ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap lelaki berkenaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala tertuduh tidak mempunyai peguam bela.
Mengikut fakta kes, pada pukul 3 petang, 15 November 2022, ketika tertuduh sedang solat dalam sebuah bilik rumahnya, `spring’ buaian anaknya telah terputus menyebabkan mangsa jatuh terhempas ke lantai dan paha kaki kanan mangsa telah patah. Tertuduh telah membawa mangsa untuk mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta di Setapak.
Bagaimanapun, mangsa telah mengalami sawan pada 30 November tahun sama dan doktor di sebuah klinik telah telah mendiagnosis kanak-kanak terbabit sebagai tantrum dan tidak diberikan sebarang ubat.
Pada 3 Januari lalu, mangsa sekali lagi diserang sawan dan ketika dalam keadaan kelam kabut untuk membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan, kepala kanak-kanak itu telah terlanggar bingkai pintu hadapan rumahnya ketika hendak dibawa keluar dari rumah.
Disebabkan keadaan jalan yang sesak, tertuduh dan isterinya telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gombak bagi membolehkan anak mereka dibawa ke hospital dengan ambulan. Mangsa telah diberikan rawatan awal ketika berada di klinik kesihatan terbabit dan turut diberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ketika berada di dalam ambulan.
Ketika mengemukakan rayuan, Amirul Hakim memohon agar mahkamah mengenakan jumlah denda yang kurang daripada RM10,000 memandangkan beliau perlu menanggung isteri dan kedua ibu bapanya.
Pendakwaan bagaimanapun memohon satu hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai satu pengajaran kepadanya dan juga ibu bapa lain agar tidak cuai dalam menjaga anak masing-masing.
Selain hukuman denda dan perintah khidmat masyarakat itu, Hakim Siti Aminah Ghazali turut memerintahkan agar tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.
Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh. – UTUSAN