PETALING JAYA: Semua bangunan tinggi di negara ini termasuk kondominium perlu diwajibkan memasang sistem kalis gegaran memandangkan Malaysia turut terdedah kepada bahaya gempa bumi pada bila-bila masa walaupun berada di luar Lingkaran Api Pasifik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, meskipun kerajaan sudah memperkenalkan garis panduan agar pemaju memasang sistem penyerap gempa bumi, perkara itu belum dilaksanakan secara menyeluruh di bangunan tinggi terutama tempat tinggal seperti flat dan pangsapuri.
Katanya, sistem yang dinamakan sebagai ‘Penyerap Gempa’ jika dipasang pada struktur bangunan berupaya menyerap getaran akibat kesan daripada gempa bumi sekali gus mengelak kerosakan kepada bangunan dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
“Alat ini telah digunakan di projek pembinaan bangunan tinggi sejak 10 tahun lalu kerana ia menjadi salah satu kelulusan kebenaran oleh pihak berkuasa untuk memasang alat ini.
“Tanpa alat ini yang dihasilkan daripada getah, gegaran kuat boleh menyebabkan runtuhan sekali gus mengorbankan lebih banyak nyawa.
“Tetapi apa yang saya tahu, ia belum terpakai membabitkan bangunan tempat tinggal seperti flat, pangsapuri dan kondominium,” katanya.
Meskipun Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik, negara masih berisiko berdepan gegaran kuat akibat gempa bumi kuat khususnya yang berlaku di negara jiran, Indonesia dan Filipina.
Misalnya gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter yang melanda Bukit Tinggi di Sumatera, Indonesia awal tahun lalu menyebabkan gegaran kuat dirasai di beberapa negeri di Malaysia terutama di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.
Dalam pada itu, Edy Tonnizam berkata, bangunan tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang terdedah kepada risiko gegaran kuat yang berpunca dari gempa bumi di kawasan pantai Sumatera Indonesia pada bila-bila masa.
Katanya, setakat ini belum berlaku gempa bumi di negara ini namun beberapa gegaran kuat dari luar telah mengakibatkan kesannya turut dirasai.
“Risiko boleh jadi agak besar pada masa akan datang jika gegaran gempa bumi kuat berlaku manakala tempias dirasai di sini, namun kita perlu berwaspada termasuklah memasang sistem kalis gempa bumi di bangunan tinggi bagi mengurangkan risiko runtuhan,” katanya.
Bagi Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Mohd. Khairul Amri Kamarudin, Malaysia kini tidak ‘imun’ daripada sebarang bencana termasuk gempa bumi ekoran perubahan iklim yang menyaksikan keadaan bumi tidak sama seperti 100 tahun lalu.
Ujarnya, sejak kebelakangan ini Malaysia kerap menerima kesan bencana alam walaupun di luar Lingkaran Api Pasifik yang berpunca dari negara jiran di samping kedudukannya di tengah-tengah lautan yang mudah dibadai tsunami sekiranya berlaku gempa bumi di bawah dasar laut.
Justeru, Malaysia khususnya rakyat sendiri tidak boleh mengambil mudah terhadap sebarang bencana alam luar negara kerana kejadian itu boleh menimpa tanah air tanpa disangka.
“Keadaan dunia sudah berubah, jika dahulu musim tengkujuh pada hujung tahun tetapi sekarang terjadi tidak disangka sekali gus menyedarkan kita bahawa perlu bersedia pada bila-bila masa sahaja.
“Selain memperbanyakkan kajian, kita perlu belajar dari Jepun bagaimana mereka mendidik rakyat dan menguruskan bencana alam ketika berlaku gempa bumi,” katanya.
Mengulas isu sama, Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Rodeano Rosle berkata, di Sabah, zon berisiko tinggi seperti Kundasang/Ranau, Lahad Datu dan Kudat adalah kawasan berisiko gempa bumi.
Maka, katanya, pembinaan bangunan di ketiga-tiga daerah itu perlu mengambil kira faktor tahan gempa.
“Semasa gempa bumi 2015 di Ranau, kita melihat banyak keretakan bangunan berlaku sehingga ada bangunan yang terpaksa dirobohkan. Bangunan yang rosak akibat gempa itu dibina sejak 1970-an kerana tidak mengambil kira faktor gempa bumi.
“Susulan kejadian itu, kita mula menyediakan garis panduan reka bentuk bangunan yang tahan gempa untuk mengurangkan risiko kerosakan,” katanya.
Reka bentuk bangunan tahan gempa ini turut dicadangkan di bandar-bandar besar yang mempunyai banyak bangunan tinggi.
Justeru, diharap garis panduan yang ada akan dipatuhi oleh setiap agensi kerajaan mahupun pemaju yang ingin membina bangunan yang tinggi pada masa akan datang.
Menurut beliau, apabila gempa bumi berlaku, biarpun kekuatannya sekitar 6.0 skala richter namun, gelombang yang dibawa jauh lebih tinggi dan itulah mengakibatkan kerosakan berlaku pada struktur bangunan. – UTUSAN










