Bajet 2023: Tindakan lebih radikal, pacu pelaburan, rahmah rakyat - Utusan Malaysia

Bajet 2023: Tindakan lebih radikal, pacu pelaburan, rahmah rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya di sini, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini digambarkan bakal menggariskan tindakan yang lebih radikal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui bajet tersebut, beliau dan pasukannya di Kementerian Kewangan cuba mendepani beberapa masalah dengan berani.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, rangka Bajet 2023 akan memberi fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara menerusi keyakinan pelabur seterusnya berupaya memberi rahmah kepada rakyat secara menyeluruh.

Ujarnya, pendekatan itu perlu diambil kerana negara banyak ketinggalan dari segi pelaksanaan dasar membabitkan ekonomi.

“Banyak hal kita ketinggalan. Hampir tiap hari saya ada kumpulan perbincangan. Hal ini umpamanya dalam soal daya saing, kecepatan, kepesatan kelulusan perniagaan, soal beberapa inisiatif baharu seperti digitalisasi, beberapa tindakan untuk memastikan keluaran sumber asli melalui proses hiliran.

“Itu semua kita ketinggalan dari Indonesia, Vietnam. Hal ini mesti kita depani untuk memastikan kita mampu dan berdaya saing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Anwar berkata, kerajaan mahu memberi mesej jelas bahawa penyediaan belanjawan bukan sahaja mengambil kira kedudukan ekonomi mencabar sekarang tetapi sesuatu yang boleh memacu pertumbuhan serta meyakinkan pelabur.

Katanya, ia menjadi satu cabaran yang sangat rumit untuk mengimbangi keyakinan golongan kaya untuk melabur dan kumpulan miskin mendapat faedah sebagaimana asas dalam al-Quran.

“Kalau semua ini diimbangi, itu contoh terbaik manusia bagaimana kita dapat terjemah Madani. Kita sebut Madani, mahu pacu pertumbuhan, tetapi tidak peduli ihsan, rahmah, ia tidak mungkin tercapai,” katanya.

Menurut beliau, fokus kerajaan ketika ini bukan melibatkan soal kaum atau daerah, tetapi terarah kepada kumpulan rakyat tanpa hanya bergantung kepada angka semata-mata.

“Kalau dia miskin tegar, dia bukan angka. Di Kementerian Kewangan hidup dengan angka, data dan statistik, tapi jangan dia pukau kita, umpamanya statistik miskin tegar dahulu 30 peratus, sekarang lima peratus dan kita kata kejayaan besar.

“Benar, kalau Datuk Johan (Timbalan Ketua Perbendaharaan, Dasar) masuk kategori lima peratus itu, tentu tidak menyenangkan beliau. Kita mesti cari jalan untuk memberikan sedikit keselesaan kepada mereka.

“Angka, data dan statistik penting, tetapi jangan memukau serta beri keselesaan kerana kalau kita masuk kategori itu, mungkin tidak akan maafkan sistem. Saya tidak mahu tidur nyenyak, kalau orang merasa tersisih serta tidak dipedulikan pemimpin negara,” katanya.

Susulan itu, Anwar berharap pihaknya dapat mendepani beberapa masalah dalam Belanjawan 2023 seterusnya tidak berselindung dan memberikan kenyataan samar kepada rakyat.

“Kalau ada masalah hutang sekian, beritahu. Masalah kita harus hadapi bersama, keperitan ini jelaskan dan kemudian beritahu beberapa tindakan yang mahu dicadangkan atau diusulkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya