SEOUL: Anggota kumpulan EXO, Baekhyun berjaya menyelesaikan tugasan ketenteraan yang diwajibkan kepada rakyat Korea Selatan berusia antara 18 dan 28 tahun, sejak minggu lalu.
Baekhyun, 30, menjalani kursus wajib tersebut sejak Mei 2021 dan bertugas sebagai anggota perkhidmatan pelanggan.
Seiring kepulangannya, pemilik nama sebenar, Byun Baekhyun itu turut menyapa peminatnya di media sosial.
Menerusi hantaran di Twitter, Baekhyun yang juga merupakan penulis lagu dan pelakon berjanji muncul secara langsung menerusi akaun rasmi EXO, semalam.
Dia pada masa sama, turut melahirkan kebimbangan sekiranya gugup untuk kembali bercakap di depan orang ramai seperti dahulu.
“Kita akan bertemu nanti. Dulu, saya pandai bercakap, tetapi bagaimana jika saya gugup di depan anda semua,” tulis Baekhyun dalam Twitter.
Menerusi hantaran lain, dia juga bertanya sama ada peminat teruja menyambut kepulangannya.
Soalan tersebut disambut gembira peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan semulanya.
Baekhyun merupakan anggota kesembilan EXO sejak 2012 sebagai vokalis utama. Pada 2019, dia mengambil keputusan bergerak sebagai penyanyi solo dan menghasilkan album sulung, City Lights yang terjual lebih setengah juta salinan.
Pencapaian luar biasa itu melayakkannya merangkul anugerah jualan Album Terbaik Bagi Artis Solo 2020. – AGENSI