Aplikasi Nusuk dalam bahasa Melayu permudah urusan haji, umrah

Aplikasi Nusuk dalam bahasa Melayu permudah urusan haji, umrah

TAWFIQ Fawzan Muhammed Al Rabiah pada sidang akhbar bersama Mohd. Na’im Mokhtar di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Arab Saudi bakal memperkenalkan aplikasi atas talian, Nusuk dalam versi bahasa Melayu untuk kemudahan para jemaah umrah dan haji dari Malaysia.

Berita gembira itu diumum oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al Rabiah sejajar program pendigitalan perkhidmatan awam negara tersebut.

“Insya-Allah, kami akan melancarkan Nusuk dalam platform berbahasa Melayu sepenuhnya yang merangkumi banyak kemudahan untuk bakal jemaah warga Malaysia,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Ia sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari ke pelbagai lokasi di Malaysia sejak Sabtu lalu dan mendapat perkenan, Raja Arab Saudi sendiri, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Nusuk yang dilancarkan pada 18 November 2022 lalu menggantikan aplikasi Eatmarna, ketika ini hanya mengandungi empat bahasa iaitu Arab, Inggeris, Rusia dan Indonesia.

Platform elektronik mesra pengguna itu menawarkan lebih 120 perkhidmatan berkaitan urusan umrah, haji, ziarah dan percutian termasuk isu visa, penerbangan dan penginapan.

Mengulas lanjut, Tawfiq Fawzan menjangkakan pelancaran aplikasi Nusuk dalam bahasa Melayu akan melonjakkan lagi jumlah ketibaan jemaah umrah dari Malaysia selepas ini.

“Sejak musim umrah 1444 Hijrah bermula 30 Julai 2022, bilangan jemaah Malaysia telah mencapai 300,000 orang iaitu angka sebelum sempadan ditutup pada 2020 lalu,” katanya.

Justeru, beliau meramalkan sebelum musim haji tahun ini bermula 26 Jun depan, bilangan jemaah umrah Malaysia akan bertambah lagi 50 peratus kepada sebanyak 450,000 orang.

Unjuran itu ujarnya, berdasarkan pemansuhan peraturan had umur maksimum sebelum ini terhad 65 tahun ke bawah, tiada saringan Covid-19 dan pengiring mahram jemaah wanita.

Malah, beliau menjangka jumlah itu boleh melonjak apabila berlaku peningkatan daripada 49 penerbangan seminggu kepada lebih 70 penerbangan seminggu dalam waktu terdekat.

Bagi menjayakan hasrat tersebut, beliau akan bertemu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk membincangkan kebenaran hak pendaratan Malaysia di Arab Saudi.

Pada masa sama, Tawfiq Fawzan berkata, bilangan jemaah dari seluruh dunia akan ramai ekoran projek mega perluasan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

“Kami juga giat perluaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Abdulaziz di Madinah,” katanya.

Pembesaran kedua-dua terminal udara itu jelasnya, membolehkan kapasiti penumpang ditambah lagi dan memberi banyak keselesaan kepada bakal jemaah dari seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya