Ahli Parlimen DAP pertahan Ahmad Zahid walau ada kes mahkamah  - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen DAP pertahan Ahmad Zahid walau ada kes mahkamah 

AHMAD Zahid Hamidi ketika mengiringi Anwar Ibrahim di Parlimen. - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbahasan di Dewan Rakyat bertukar tegang apabila salah seorang pemimpin DAP ‘berperang mulut’ dengan pembangkang berhubung keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalannya dalam Kabinet.

Hal ini sedangkan Ahmad Zahid kini dibicarakan di mahkamah atas 47 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang bagi pembangkang tidak wajar untuk beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, RSN Rayer (PH-Jelutong) dilihat membela Ahmad Zahid untuk memegang jawatan itu kerana beliau berpendapat, seseorang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah di akhir proses perbicaraan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika itu mengusulkan supaya kerajaan menetapkan satu syarat sama ada seseorang anggota pentadbiran kerajaan boleh memegang jawatan utama sedangkan seseorang itu sedang mempunyai kes pendakwaan di mahkamah.

Takiyuddin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) berkata, keadaan itu telah menyukarkan pihak pendakwa raya meneruskan pendakwaan manakala hakim pula sukar membuat keputusan.

Setiausaha Agung Pas itu bagaimanapun tidak menyebut secara langsung di Dewan Rakyat mengenai merit kes yang sedang dihadapi Ahmad Zahid ketika ini.

Rayer: Yang Berhormat tidak boleh sebut apa-apa perkara (di dalam dewan) yang sedang dalam pertimbangan mahkamah.

Takiyuddin: (Tetapi) saya tidak sebut merit kes.

Rayer: Bagan Datuk (Ahmad Zahid) belum lagi didapati bersalah.

Takiyuddin: Yang Berhormat dulu cakap lain, sekarang cakap lain ya. I know you very well (saya tahu sangat anda).

Rayer: Anda orang peguam. Seseorang tidak bersalah selagi dibuktikan bersalah. Memang jelas kenyataan Yang Berhormat melanggar peraturan mesyuarat.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau juga merupakan pemegang amanahnya.

Beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebanyak tiga kali masing-masing pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah yang didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016, Ahmad Zahid dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.