Adam Radlan dihadapkan ke mahkamah kali ketiga

Adam Radlan dihadapkan ke mahkamah kali ketiga

Adam Radlan Adam Muhammad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad yang sebelum ini didakwa atas empat pertuduhan rasuah, hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta berhubung Projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara. 

Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut kertas pertuduhan itu, Adam didakwa meminta rasuah berjumlah RM2 juta daripada individu bernama Lian Tan Chua. 

Suapan itu didakwa diminta sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek iaitu Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Adam Radlan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh memohon wang jaminan serta syarat tambahan diguna pakai seperti mana Mahkamah Sesyen Shah Alam yang membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM300,000 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan iaitu melapor diri ke pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali.

Katanya, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari lepas atas kesalahan menerima rasuah membabitkan projek sama (Jana Wibawa).

Farah Yasmin juga mohon kepada mahkamah supaya dua kes di Mahkamah Shah Alam dan kes hari ini dibicara sekali.

“Setakat ini, saya belum menerima arahan sama ada kes akan dibicarakan di Mahkamah Shah Alam atau Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya yang turut dibantu seorang Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat.

Peguam bela, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan memberitahu mahkamah, pihak pembelaan tidak mempunyai bantahan berhubung perkara itu. 

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan seperti ditetapkan pendakwaan beserta semua syarat tambahan yang sama.

Rozilah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mac ini.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lalu, Hakim Suzana Hussin membenarkan Adam Radlan diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Dia didakwa atas tuduhan meminta suapan wang tunai berjumlah antara 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd menerusi pengarah urusannya, Mat Jusoh Mamat.

Sehari kemudian, di hadapan Hakim Rozilah Salleh, Adam didakwa terhadap dua lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh Mamat melalui akaun CIMB Bank Bhd milik syarikat Bayu Bumiraya Sdn Bhd. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya