90 peratus kebakaran struktur akibat punca elektrik - Utusan Malaysia

90 peratus kebakaran struktur akibat punca elektrik

BOMBA menasihatkan orang ramai untuk memastikan kediaman dalam keadaan selamat selain membuat pemeriksaan elektrik secara berkala. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 8,348 kes kebakaran struktur dica­tatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tahun lalu dengan melebihi 90 peratus disebabkan punca elek­trik.

Mengikut rekod JBPM, jumlah itu melibatkan 8,040 kes berpunca daripada kemalangan manakala 251 kes (sengaja dibakar) dan 57 lagi semula jadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Ope­rasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, keba­nyakan kes kebakaran berlaku disebabkan kemalangan yang berpunca daripada kegagalan peralatan elektrik, mekanikal atau pendawaian, kegagalan kimia dan kecuaian.

“Antaranya litar pintas, kebakaran penggunaan peralatan dapur, over heating dan kecuaian.­ Itu berpunca dari elektrik dalam sebuah kediaman penggunaannya tinggi dan berterusan sehingga boleh terjadinya kejadian tidak diingini.

NOR Hisham Mohammad ketika temu bual di Ibu Pejabat JBPM Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Sebanyak 251 kes iaitu se­ngaja dibakar yang kebanyakannya daripada perbuatan khianat manakala semula jadi disebabkan kilat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, menurut Nor Hisham, sebanyak 4,695 kebakaran melibatkan premis ba­ngunan turut direkodkan.

Jelasnya, kebakaran paling banyak berlaku di rumah kediaman tanah lot iaitu 1,432 kes diikuti teres (684), kedai (475) dan dapur (353).

Jelas beliau, sebanyak 269 kes kebakaran di stor, kilang (260), rumah flat (152) dan kondominium (139).

“Bagi rumah kedai, sebanyak 88 kes dilaporkan berlaku diikuti bengkel (72), setinggan (60) dan pejabat (55). Selain itu, kira-kira 53 kes kebakaran melibatkan premis makanan, asrama pekerja (45), rumah panjang (41) dan hotel (26) serta klinik atau hospital (18).

“Bagi institusi pendidikan, sebanyak 27 kes berlaku di sekolah menengah, asrama sekolah (13), pusat tahfiz (12), universiti (8), sekolah rendah (10) dan sekolah swasta (4) manakala 561 lain-lain premis,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk memastikan kediaman dalam keadaan selamat selain membuat pemeriksaan elektrik secara berkala.

Menurutnya, pemeriksaan pendawaian juga perlu dilakukan setiap lima tahun oleh individu bertauliah bagi memastikan tiada berlaku kebocoran dalam arus elektrik.

“Terutamanya kini setiap rumah menggunakan extension (penyambungan) yang kebanyakannya mengecas banyak peralatan. Malah ada juga turut menggunakan extension untuk mesin basuh dan penge­ring baju walhal ia tidak mampu menampung arus elektrik.

“Yang paling penting pastikan segala peralatan yang digunakan mempunyai cop SIRIM yang sah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.