KUALA NERUS : Seramai 50 ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang terjejas dalam kejadian banjir di Terengganu, baru-baru ini menerima manfaat musibah bencana banjir sebanyak RM500 seorang.
Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam berkata, kesemua guru tersebut menerima manfaat bencana selepas mengemukakan permohonan kepada YGBM sebelum ini.
Katanya, permohonan tersebut dibuka kepada semua ahli YGBM yang terlibat banjir di seluruh negara.
Katanya, permohonan itu masih dibuka pendaftaran untuk memastikan ahli-ahli terlibat banjir tidak ketinggalan mendapatkan manfaat tersebut.
“YGBM percaya manfaat yang diterima itu dapat meringankan beban ahli-ahli yang terkesan dalam kejadian banjir, baru-baru ini,” katanya pada Bengkel Pembangunan Learning Organization Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Sumbangan bagi yang terkesan bencana banjir Monsun Timur Laut 2022/2023 di sini, semalam.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Othman.
Aminuddin memberitahu, ahli YGBM yang membayar yuran keahlian serendah RM10 sebulan layak menerima manfaat musibah banjir sebanyak RM500.
Sementara itu, seorang guru, Wan Manzura Wan Kamal, 59, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Bukit, Besar di sini, gembira menerima bantuan tersebut.
Dia yang tinggal di Kampung Losong Haji Long berkata, bantuan yang diterima itu dapat meringankan beban keluarganya selepas kebanyakan perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak ditenggelami banjir.
“Rumah saya dinaiki air sedalam kira-kira satu meter selama tiga hari berturut-turut,” ujarnya.
Seorang lagi guru, Ismarul Wardi Abdullah, dari SK Felda Tenang, Besut, pula berkata, rumahnya di Taman Pulau Ribu dinaiki air kira-kira pukul 3 pagi dan penduduk di taman itu tidak sempat menyelamatkan harta benda.
“Saya menyertai YGMB sejak 20 tahun lalu dan terharu menerima manfaat bencana banjir sebanyak RM500,” katanya. – UTUSAN