150 PBT terima Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon

150 PBT terima Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon

NIK Nazmi Nik Ahmad (dua kiri) melancarkan gimik Pra-Pelancaran IGEM 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menerima Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta yang disalurkan pada tahun lalu untuk melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, setiap PBT menerima geran kira-kira RM250,000 bagi mengaplikasikan teknologi hijau.

“Maklum balas yang diterima dari PBT amat menggalakkan dan insya-Allah kita akan teruskan (penyaluran geran) kerana Perdana Menteri meletakkan elemen alam sekitar sebagai salah satu fokus dalam Bajet 2023 yang beliau akan bentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pra pelancaran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM 2023) di sini hari ini.

GeRAK yang dilancarkan pada 6 April 2021 memperuntukkan sejumlah RM35 juta geran dengan mengutamakan PBT yang melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) serta Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.

Mengulas mengenai IGEM 2023, Nik Nazmi berkata, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya RM4 bilion potensi pelaburan menerusi edisi kali ini.

Menurut beliau, IGEM 2022 berjaya membawa potensi pelaburan berjumlah RM4.25 bilion dengan melibatkan seramai 33,150 pelawat termasuk peserta dari China, Belanda, Kanada, Korea, Austria serta Singapura.

“Pada tahun ini kita sasarkan minimum RM4 bilion prospek perniagaan dan melalui trek rekod yang baik dari penganjuran IGEM sebelum ini, kita yakin untuk capai sasaran tersebut malah melangkauinya.

“Pada IGEM 2023, kita akan fokus keutamaan untuk mengurangkan impak perubahan iklim dan juga menekankan elemen SDG (Matlamat Pembangunan Lestari) dan ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus) untuk semua pihak sama ada kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan awam bagi memenuhi sasaran negara,” ujarnya.

IGEM 2023 akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 4 hingga 6 Oktober dengan bertemakan Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.