Usul dua jawatan tak dipertanding tak langgar Perlembagaan - Utusan Malaysia

Usul dua jawatan tak dipertanding tak langgar Perlembagaan

AHMAD Zahid Hamidi bercakap pada sidang akhbar selepas tamat Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan, tidak melanggar Perlembagaan dan peraturan UMNO.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, usul tambahan perkara lapan daripada usul pencadang dasar itu adalah sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat dalam Perlembagaan parti.

Justeru katanya, keputusan tadi adalah muktamad kerana Perhimpunan Agung UMNO merupakan badan tertinggi di dalam parti dan ia tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan.

“Sesuai apa saya katakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa sesungguhnya kami berdua (Presiden dan Timbalan Presiden) serahkan soal ini (pemilihan jawatan) kepada perwakilan.

“Oleh itu, perwakilan yang diabsahkan perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO dan perkara ini telah dilaksankan mengikut fasal dalam Perlembagaan dan peraturan parti.

“Jika ada berita katakan terdapat perwakilan tidak sah atau perkara tidak diikut oleh Pengerusi Tetap, saya yakin perkara ini telah mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang UMNO sendiri yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin.

“Jadi sebagai pengamal undang-undang, penasihat undang-undang UMNO dan pengerusi lembaga disiplin, dia pasti lebih tahu bahawa perjalanan mesyuarat dan peraturan diikuti dibuat mengikut peraturan dan Perlembagaan mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini.

Terdahulu, perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 meluluskan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum 19 Mei ini.

Ini setelah undian dibuat apabila perwakilan yang menyokong usul bangun dan jumlah itu melebihi perwakilan yang tidak menyokong usul berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada penasihat undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak mahu mencabar keputusan perhimpunan parti itu kali ini.

Malah katanya, soal takut juga tidak timbul kerana perwakilan itu mewakili akar umbi.

“Jadi (menggambarkan) akar umbi mahu supaya penyatuan, perpaduan parti diutamakan.

“Pengerusi Tetap juga sudah sebut bahawa harus bersama-sama mempunyai semangat pasukan mara kehadapan dan tidak lagi toleh kebelakang, kiri atau kanan,” katanya.

Berhubung tuduhan perwakilan hantu, Ahmad Zahid hanya menjawab,: “Mana boleh masuk kalau tak ada kad ini,” katanya sambil menunjukkan pas rasmi perwakilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN