UMK, kedutaan AS jalin kerjasama pulihara rebana kercing

UMK, Kedutaan AS jalin kerjasama pulihara rebana kercing

DR. RAZLI Che Razak (kiri) bersama Brain D. McFeeters menunjukkan kemahiran memukul rebana kercing di UMK Kampus Bachok, Kelantan, hari ini. - FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjalinkan kerjasama dengan kedutaan Amerika Syarikat (AS) dalam memulihara dan memartabatkan sejarah serta keunikan seni warisan dipanggil rebana kercing agar terus subur di zaman moden hari ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, proses itu dilakukan menerusi projek penyelidikan yang dikenali sebagai ‘Preservation of the Rebana Kercing of Kampung Laut, Kelantan’ bawah dana penyelidikan Ambassadors Fund for Cultural Preservation (AFCP) membabitkan perbelanjaan bernilai RM200,000.

Menurutnya, seramai 27 penyelidik dan kakitangan UMK terlibat dalam menjalankan projek ini menerusi kajian dan penyelidikan melibatkan perspektif sosio budaya masyarakat dalam memulihara seni persembahan rebana kercing yang dipercayai mula bertapak sejak 150 tahun lalu di Kampung Laut, Tumpat.

“Hasil kita telah berjaya mendokumentasikan dua buah buku hasil penyelidikan dan pemuliharaannya berjudul ‘Rebana Kercing Kampung Laut: Preservation of the Art’ dan ‘The Preservation of Rebana Kercing: The Journey’ yang akan diterbitkan dalam tempoh terdekat sebagai warisan ilmu untuk tatapan generasi akan datang.

“Kandungan buku yang ditulis oleh kumpulan penyelidik UMK merangkumi pelbagai bidang pengkhususan termasuklah berkaitan situasi semasa, sejarah, Persatuan Rebana Kercing, instrumen, tarian, kostum, seni lagu dan aktivis,” katanya semasa sidang akhbar selepas pada majlis penutup bagi projek ‘Preservation of the Rebana Kercing of Kampung Laut, Kelantan’ yang disempurnakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D. McFeeters di Dewan Tuanku Canselor, di sini hari ini.

Dr. Razli memberitahu, bagi terbitan dalam Bahasa Inggeris ia menampilkan visual usaha-usaha pemuliharaan merangkumi temu bual, kerja lapangan dan proses digitalisasi latihan serta persembahan kebudayaan Rebana Kercing melalui projek AFCP.

Katanya, pada masa sama UMK turut menerbitkan sebuah dokumentari rebana kercing yang berkisarkan kepada latar cerita  dan sejarah seni itu di Kampung Laut sejak beberapa generasi sehingga menjadi sebahagian daripada darah daging penduduk termasuklah rakyat Kelantan.

“Dokumentari 13 episod bertajuk ‘Rebana Kercing: The Dying Arts’ bakal itu bakal ditayangkan di kaca televisyen tidak lama lagi,” ujarnya.

Sementara itu, McFeeters melahirkan rasa bangga kerana Dana Duta yang disalurkan oleh kedutaan AS itu berjaya menyokong pemuliharaan seni rebana kercing untuk tatapan generasi akan datang.

“Sejak 20 tahun lalu, dana ini (Dana Duta) telah dilaksanakan di seluruh dunia untuk menjalin persahabatan melalui warisan budaya dan memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat.  

“Kami akan terus berusaha untuk memastikan masyarakat dunia mendapat akses kepada kepelbagaian budaya dan tradisi yang terdapat di Malaysia termasuk rebana kercing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya