Tuntutan harta RM1 bilion balu Jamaludin Jarjis masih dibincang

Tuntutan harta RM1 bilion balu Jamaludin Jarjis masih dibincang

NUR Hidayah A. Bakar (kiri) ditemui pihak media di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada prosiding tuntutan harta sepencarian RM1 bilion milik Jamaludin Jarjis. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya, masih dalam peringkat perbincangan untuk dimuktamadkan.

Berikutan perkembangan tersebut, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 2 Mei ini untuk tarikh prosiding selanjutnya bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan jika terhadap hasil perbincangan yang dipersetujui untuk direkodkan oleh mahkamah.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid ketika menetapkan tarikh itu turut membenarkan permohonan Peguam Syarie Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Dr. Kalsom agar prosiding pada hari tersebut didengar secara tertutup (in camera).

Ketika mahkamah bersidang, Sulaiman memohon pendengaran selanjutnya secara tertutup atau secara dalam kamar supaya tidak menjejaskan perjalanan persetujuan yang telah dicapai setakat ini.

“Saya memohon prosiding selanjutnya didengar secara dalam kamar bagi membolehkan pertikaian ini tamat dengan jayanya serta hasil perbincangan tidak menjadi bahan publisiti yang akan menjejaskan perjalanan perbincangan,” ujar Sulaiman.

Sementara itu, Peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili keempat-empat anak Allahyarham Jamaludin memaklumkan, anak-anak guamnya bersetuju agar prosiding dijalankan secara tertutup bertujuan melindungi dan merahsiakan terma-terma persetujuan.

“Saya dimaklumkan pihak keluarga sedang merundingkan penyelesaian untuk dimuktamadkan,” ujar beliau.

Dalam prosiding tersebut, Peguam-Peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar dan Farhan Haziq Mohamed mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah selaku defendan kelima.

Nur Hidayah memaklumkan, hari ini ditetapkan untuk status perbincangan sama ada kes tuntutan diselesaikan secara baik atau melalui perbicaraan.

Beliau membantah pendengaran secara tertutup atas alasan setakat ini pihak-pihak belum memaklumkan sebarang terma persetujuan yang dicapai.

Bagaimanapun, Sulaiman tetap berpendirian agar pendengaran diteruskan secara tertutup supaya pihak plaintif boleh menjawab sebarang pertikaian tanpa was-was ia akan dilaporkan oleh mana-mana media.

Pada prosiding hari ini, Kalsom, Aminah dan empat anak Allahyarham Jamaludin tidak hadir ke mahkamah dan hanya mewakilkan peguam masing-masing.

Pada 1 November 2022, Mahkamah Tinggi Syariah diberitahu, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion itu mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.

Ketika itu, Peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 66, selaku plaintif memaklumkan perkembangan baharu bahawa semua pihak sedia berbincang untuk menyelesaikan kes secara baik.

Hakim Syarie Abdul Shukor menyambut baik perkembangan itu dan menyatakan mahkamah meraikan tindakan yang dibuat secara perbincangan.

“Memandangkan terdapat tolak ansur daripada kesemua pihak untuk menyelesaikan tuntutan dengan cara baik, diharapkan tidak berlaku sebarang pertengkaran yang dapat merosakkan institusi kekeluargaan,” kata hakim syarie tersebut.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah Abdullah sebagai defendan.

Pada 28 Ogos 2022, mahkamah membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.