Tuduhan KJ memalukan, tak matang - Utusan Malaysia

Tuduhan KJ memalukan, tak matang

MEGAT Zulkarnain Omardin bercakap kepada media ketika lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tuduhan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung wujud penipuan perwakilan import dibawa masuk menjelang usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan disifatkan sebagai satu kenyataan yang memalukan dan tidak matang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, tuduhan berlakunya penipuan itu bukan satu perkara yang baharu menjelang pengundian dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 petang ini.

“Saya fikir ini satu kenyataan cukup memalukan daripada seorang individu yang pernah menjadi pemimpin Pemuda dan saya fikir ini satu kenyataan yang tidak menggambarkan kematangan dalam kita berpolitik, (sepatutnya) tak boleh sebut dalam perhimpunan agung yang patutnya kita angkat darjat.

“Saya fikir semua orang kenal (perwakilan) yang duduk dalam kerusi itu, kita kenal perwakilan negeri, melainkan tidak pernah turun Bahagian dan santuni kepimpinan peringkat akar umbi, sampai kita tak kenal akar umbi.

“Macam saya 22 Bahagian di Selangor, saya kenal semua dan Bahagian-Bahagian lain daripada seluruh Malaysia, jadi tak timbul soal tidak ada perwakilan yang tidak betul masuk dalam dewan,” katanya kepada pemberita di Laman Media, Putra Dagangan Dunia, di sini, hari ini.

Justeru, Megat yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor meminta Khairy supaya lebih bersikap profesional dalam menerima apa sahaja keputusan perwakilan.

“Saya fikir lets be professional, mesti terima keputusan perwakilan. Jangan bila keputusan itu dilihat memihak kepada kita, kita kata itu yang betul, tetapi jika sebaliknya (kata) ini ada tidak jujur berlaku,” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau mendakwa, beberapa tanda nama yang dikhaskan untuk perwakilan UMNO pada kerusi dalam Dewan Merdeka di sini, ditanggalkan untuk undian usul pada petang ini sempena Perhimpunan Agung UMNO.

Menerusi satu video di akaun TikTok, Khairy berkata, tindakan membawa itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Beliau pada masa sama hairan penambahan usul itu dibentangkan oleh pembahas dari Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Samsudin yang merupakan orang Rembau sedangkan Timbalan Presiden sendiri, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.