Tiga keutamaan TLDM capai teras 

Tiga keutamaan TLDM capai teras 

ABDUL Rahman Ayob berucap pada Majlis Perutusan Ulung Panglima Tentera Laut di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggariskan tiga keutamaan bagi membolehkan empat teras semasa yang masih relevan tercapai.

Empat teras semasa yang digariskan sebelum ini ialah memberi keutamaan kepada kesiagaan armada, meneruskan pelan transformasi TLDM, meningkatkan integrasi dan sokongan kepada aspek kebersamaan dan mempergiat proses menyediakan sumber manusia terbaik untuk memenuhi keperluan masa hadapan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, keutamaan pertama adalah mempergiat libat urus dengan rakan strategik yang berkaitan.

Kata beliau, usaha itu penting kerana membolehkan semua pemegang taruh dan pihak berkepentingan memahami dengan lebih baik tentang TLDM dan apa yang dihasratkan.

“Begitu juga hubungan dengan rakan industri khususnya di industri pertahanan, pada hemat saya di sini jelas terdapat ruang dan peluang yang besar untuk diperbaiki,” katanya dalam perutusan ulung selepas dilantik menjadi Panglima Tentera Laut yang ke-18 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakat Md Ajis.

Abdul Rahman berkata, keutamaan kedua adalah menambah baik proses kerja semasa supaya lebih relevan dan efisien.

“Sepertimana kita sedia maklum, sungguhpun birokrasi adalah sesuatu yang rumit dan kadangkala menyukarkan, ia wujud atas sebab tertentu. 

“Justeru adalah tersandang dibahu kita untuk mencari kaedah terbaik bagi mengimbangi antara keperluan birokrasi dan mencapai objektif yang kita mahukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau,  validasi yang terperinci akan dilaksanakan terhadap proses kerja sedia ada dan satu pelan yang komprenhensif dirangka bagi mewujudkan proses kerja baharu yang lebih pantas dan efisien.

Beliau turut menggariskan keutamaan ketiga iaitu memperkasa etos (watak) dan etika ketenteraan dalam kalangan warga TLDM.

“Etos dan etika ketenteraan secara umumnya merujuk kepada keperibadian, perlakuan dan jati diri yang perlu ada pada setiap pegawai dan anggota di dalam profesion ketenteraan.

“Ciri-ciri seperti disiplin, keberanian, integriti, keikhlasan, taat setia yang tidak berbelah bahagi, menghormati saluran pemerintahaan, pantang menyerah kalah, mementingkan perkhidmatan melebihi kepentingan diri, kerja berpasukan dan sedia berkorban adalah prinsip utama menjadi pegangan seorang tentera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.