PETALING JAYA: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak menegaskan tiada penyelewengan dalam isu pindah milik beribu hektar tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu seperti didedahkan akhbar ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad menegaskan, pihaknya akan menyediakan laporan berhubung isu itu kepada kerajaan negeri.
Beliau turut mengesahkan, pihaknya juga sudah memberi keterangan kepada Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu tanah rizab Melayu negeri itu.
Menurutnya, PTG Perak mengambil maklum isu dibangkitkan JAN serta akhbar ini malah sentiasa komited mengekalkan serta menambah baik pegangan rizab tanah Melayu di negeri itu.
“Percayalah, tiada penyelewengan, namun kita mengambil iktibar untuk penambahbaikan dan pengukuhan berterusan, penjagaan dengan mengekalkan tanah rizab Melayu tanah sedia ada.
“Pada masa sama, pertambahan pegangan Melayu terhadap hak pemilikan tanah akan dipertingkatkan. Cuma yang penting arus perjuangan ke hadapan ini adalah bagaimana kita menggerakkan nilai tanah rizab Melayu kepada harga yang sama seperti tanah bukan rizab Melayu.
“Saya akan menyediakan laporan kepada Kerajaan Negeri Perak. Isu ini sudah banyak kali dikeluarkan, kita pun sudah menjawab dengan JAN, SPRM dan PRDM sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pada 24 Januari 2021, Mingguan Malaysia mendedahkan tentang tukar milik tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar di mukim Sitiawan yang mengakibatkan tanah rizab Melayu di situ dipecah kepada 317 lot kecil dan bertukar hak milik kepada bukan Melayu.
Dalam pendedahan bertajuk Bumi Dipijak Milik Orang tersebut, akhbar ini melaporkan bahawa proses pindah milik itu bertentangan dengan Enakmen Rizab Tanah Melayu serta Akta Kanun Tanah Negara 1965.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan hasil siasatan dibuat Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.
Laporan JAN itu menyatakan, pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.
Mohamad Fariz berkata, PTG Perak sedang memikirkan kaedah libat urus bersama pihak pemaju bagi memartabatkan pemajuan tanah rizab Melayu di negeri itu.
“Kita sedang merangka kaedah untuk mengajak pemaju bagaimana kita patut ke hadapan untuk memartabatkan pemajuan tanah rizab Melayu secara kolaborasi dengan mana-mana syarikat milik kerajaan (GLC) bagi mengukuhkan aset rizab Melayu,” katanya.
Pada masa sama katanya, bank, institusi kewangan dan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) perlu meletakkan nilai rizab Melayu kepada nilai yang mempunyai pasaran aset nilai memberangsangkan apabila dimiliki.
“Bukannya merendahkan nilainya, yang mana ke hadapan ini kita meningkatkan kualiti pemilikan Melayu di bandar dan kawasan strategik, bukan di luar bandar atau di pinggir bandar,” tegasnya. – UTUSAN










