Tiada isu kerja sampai 16 jam - Keith Foo

Tiada isu kerja sampai 16 jam – Keith Foo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Keith Foo, 40, tidak mempunyai masalah menjalani penggambaran sehingga ‘dilenjan’ 16 jam semasa membintangi filem dan sinetron di Indonesia. 

Katanya, seorang pelakon mesti menerapkan sikap bertolak ansur dan bekerjasama supaya setiap naskhah yang dihasilkan memenuhi kehendak produksi. 

“Saya pernah bekerja dari pagi sampai ke pagi keesokan harinya dan pernah juga jalani penggambaran lebih 16 jam di negara seberang.  

“Pada saya, ia bukan satu masalah kerana sebagai pelakon kita mesti bertolak-ansur kerana situasi itu berlaku disebabkan produksi terpaksa mengejar tarikh siaran serta masalah logistik lain,” katanya yang pernah membintangi lapan filem di Indonesia sejak 14 tahun lalu.  

Siapa sangka rezeki pertama menjadi model iklan gigi di Indonesia akhirnya membuka jalan buat anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini mendapat tawaran berlakon dalam filem pertama, Mati Suri pada 2009. 

Mengulas lanjut, Keith berkata, dia sentiasa menerapkan disiplin diri yang tinggi dengan datang awal ke set penggambaran sekalipun bekerja dengan mana-mana produksi. 

Katanya, dia juga rajin bertanya sekiranya tidak memahami skrip atau jalan cerita mengenai sesebuah naskhah yang dijayakan. 

“Bagi saya sama sahaja cara bekerja produksi di Indonesia dan Malaysia. Masa kerja kita kerja, masa rehat kita rehat. 

“Dulu masa muda saya tidak kisah kerja lebih masa sebab nak bina nama di Indonesia serta mencari sumber rezeki buat keluarga. Apa yang saya lalui di sana sebenarnya membentuk diri saya hari ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman menguasai Bahasa Indonesia, Keith berkata, dia perlu mengambil masa selama tiga tahun untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik. 

Katanya, dia mengambil insiatif membeli surat khabar setiap hari dan membaca dengan kuat supaya dapat mendengar dan memahami dialek bahasa di sana.  

“Kalau tak faham atau sebutan tak betul saya akan tanya pengarah dan kawan-kawan di sana. Jadi dalam dua ke tiga tahun saya sudah dapat menguasai bahasa,” kongsinya.      

Menurut pelakon filem KL Gangster: Underworld 2, situasi sama juga pernah dilalui ketika membintangi filem dan drama di negara ini. 

Keith Foo atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin tidak menganggap ia sebagai satu isu kerana sangat memahami sebarang situasi luar jangka yang boleh berlaku. 

“Penggambaran ini bergantung pada situasi contohnya kalau hujan sudah tentu adegan di luar tidak dapat dijalankan. 

“Kalau lokasi pula ada masalah untuk jalani penggambaran, ia adalah perkara yang kita tak dapat elak. Kita tak boleh salahkan produksi semata-mata sebab itu pentingnya sikap tolak ansur dalam hal ini.

“Semua kru produksi nak persekitaran kerja yang bagus semasa penggambaran. Sebagai pelakon kalau kita boleh hasilkan karya yang bagus, kenapa tidak kita kerja lebih masa mengikut situasi tertentu,” katanya.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya