CARACAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan lebih tiga hari selepas dua gempa bumi kuat melanda Venezuela, kata Presiden Interim, Delcy Rodriguez.
“Beberapa minit lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup di Caraballeda.
“Pada saat ini, setiap nyawa yang diselamatkan menjadi sumber harapan buat Venezuela,” katanya menerusi hantaran di platform X yang disertakan rakaman video operasi menyelamat itu.
Pada Jumaat, suasana penuh kegembiraan turut menyelubungi kawasan pantai La Guaira, di utara Caracas yang paling teruk terjejas, apabila penduduk tempatan berjaya mengeluarkan seorang bayi yang masih hidup daripada timbunan runtuhan kira-kira 32 jam selepas gempa bumi kuat berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda.
Satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki tidak dapat menahan sebak ketika mendukung bayi berkenaan.
Sementara itu, pasukan penyelamat terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan ketika angka korban meningkat kepada 1,430 orang dan harapan untuk menemui lebih ramai mangsa yang terselamat semakin tipis selepas lebih tiga hari bencana itu berlaku.
Puluhan ribu lagi dilaporkan masih hilang selepas banyak bangunan runtuh di beberapa bandar di negara yang telah lama berdepan krisis ekonomi dan pergolakan politik susulan penahanan pemimpinnya, Nicolas Maduro oleh pasukan khas Amerika Syarikat (AS) pada Januari lalu.
Jutaan penduduk juga dikhuatiri berdepan kekurangan kemudahan sanitasi serta keperluan asas lain.
Pakar menyatakan tempoh 72 jam pertama selepas bencana alam merupakan jangka masa kritikal untuk menemukan mangsa yang masih hidup. Selepas tempoh itu, operasi mencari lazimnya bertukar kepada usaha mengeluarkan mayat mangsa.
Ramai rakyat Venezuela mendakwa tindak balas kerajaan tidak mencukupi, dengan anggota tentera, bomba, polis dan kadet tentera dikatakan tidak bersedia menghadapi skala bencana tersebut.
Kerajaan Venezuela mengehadkan akses ke negeri La Guaira, mengerahkan anggota tentera ke kawasan itu dan mewajibkan semua sukarelawan mendapatkan pas masuk keselamatan sebelum dibenarkan memasuki kawasan bencana.
Keadaan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan sukarelawan yang terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan permit di luar sebuah dewan konsert di ibu negara.
“Bayangkan, untuk menyelamatkan nyawa pun perlu mendapatkan permit,” kata sukarelawam, Carlos Itriago, 27.
Sukarelawan lain turut mengeluh dengan prosedur tersebut.
“Saya sudah berada di sini sejak subuh untuk beratur supaya dapat pergi menyelamatkan mangsa. Lihatlah sekarang sudah pukul berapa? Entah berapa banyak nyawa yang hilang dalam tempoh menunggu ini?” katanya.-AFP










