fbpx

Tampalan pecah punca kapal persiaran mewah terkandas di pantai

KEADAAN kapal persiaran mewah kecil, Lucky Seven yang terkandas di Mersing, Johor baru-baru ini. - GAMBAR IHSAN JLTM

PUTRAJAYA: Orang ramai terutama komuniti maritim dinasihatkan tidak panik dengan kehadiran sebuah kapal persiaran mewah asing yang rosak terkandas di Mersing, Johor.

Menurut kenyataan Jabatan Laut Malaysia (JLM) di sini, Lucky Seven yang merupakan kapal jenis ‘pleasure craft’ itu dikesan tersangkut di sekitar Pantai Tanjung Kempit, Endau.

“Insiden ini tidak melibatkan sebarang kecederaan, kematian atau tumpahan minyak, malah tidak mengganggu keselamatan pelayaran di kawasan kejadian tersebut,” katanya.

JLM turut memaklumkan bahawa kapal itu telah memohon izin belayar ke Manila, Filipina pada 20 Januari lepas, tetapi ditangguhkan kerana amaran angin kencang kategori dua, dan kemudiannya dapat belayar semula pada pukul 9 malam keesokan setelah peringatan waspada tersebut sudah ditarik balik Jabatan Meteorologi Malaysia.

Kapal yang dibina di Britain dan berpendaftaran di Guinea itu membawa enam orang kru iaitu seorang warga China dan lima rakyat Taiwan dengan tanpa penumpang.

Siasatan awal JLM mendapati, tampalan gentian di luar badan kapal itu tiba-tiba pecah menyebabkan air laut masuk ke bilik enjin dan mengakibatkan kaptennya hilang kawalan.

“Ia seterusnya terkeluar daripada alur pelayaran ditetapkan dan kipas kapal turut terkena batu sebelum ditolak ombak kuat ke bahagian pantai ekoran air pasang besar,” jelasnya.

Sehubungan insiden tersebut, kakitangan Pejabat JLM Teluk Gading telah ke lokasi itu untuk mendapatkan gambaran sebenar dan membuat pemeriksaan ke atas badan kapal.

Agensi berkenaan katanya, sudah berhubung terus dengan pihak ejen Lucky Seven untuk memperoleh maklumat lebih lanjut mengenai status semasa kapal persiaran kecil itu.

JLM juga mengarahkan mereka supaya membuat laporan kemalangan tersebut dengan kadar segera namun berpuas hati kerana tiada apa-apa perkara buruk yang berlaku.

Lucky Seven yang mula belayar sejak 2001 lalu dengan panjang 23 meter dan berupaya memecut 27 knot itu direka bagi menampung ideal lapan penumpang dalam empat kabin.

Selain berhawa dingin, ia turut dilengkapi enam katil, liputan wi-fi dan televisyen satelit serta sering disewa khas dengan kadar bayaran daripada serendah RM137,000 seminggu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN