Tahun Baharu Cina: Lonjakan 60 peratus trafik di WCE - Utusan Malaysia

Tahun Baharu Cina: Lonjakan 60 peratus trafik di WCE

SYED Muhd. Naguib Syed Mohd (kiri) bersama Chong Boon Khim menyerahkan cenderahati kepada pengguna WCE di Plaza Tol Sitiawan Utara dekat Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka meningkat sehingga 60 peratus berbanding purata trafik harian, sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.

Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir. Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, peningkatan itu mulai dilihat sejak semalam terutama selepas pengumuman kerajaan mengenai tol percuma bermula pukul 12 tengah malam tadi sehingga 12 tengah malam esok.

“Berdasarkan purata rekod sebelum ini dijangka laluan dari Hutan Melintang ke Beruas sepanjang 70 kilometer (km) bakal menerima limpahan trafik tinggi sepanjang musim perayaan ini.

“Dijangka sebanyak 70,000 hingga 75,000 kenderaan sehari menggunakan WCE bermula hari ini sehingga Selasa depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Daerah Manjung Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sitiawan Utara dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Boon Khim.

Menurut Syed Muhd. Naguib, pihaknya telah membuat persediaan bagi menghadapi pertambahan trafik itu dengan memastikan aset lebuh raya serta kemudahan awam seperti tandas dan surau dalam keadaan baik.

Pada masa sama, jelas beliau, pihaknya membuat rondaan tambahan agar bantuan kecemasan dapat disegerakan dan masa tindak balas dipercepatkan untuk kemudahan pengguna lebuh raya.

Maklumnya, seramai 20 peronda bersama bantuan 10 pengawal trafik bertugas memantau lebuh raya sepanjang 24 jam dan memberi bantuan kecemasan di luar jangka.

“Selain di jajaran Perak, kemudahan dan rondaan turut dilakukan di jajaran Selangor sepanjang 10 kilometer yang bermula di Bandar Bukit Raja Selatan sehingga persimpangan Bandar Bukit Raja Utara di Kapar,” ujar beliau.

Beliau juga menyarankan pengguna lebuh raya itu memuat turun aplikasi WCE yang bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat terkini mengenai lokasi kamera litar tertutup (CCTV), kemudahan awam dan bantuan kecemasan selama 24 jam di lebuh raya tersebut.

Menurutnya, aplikasi itu yang dilancarkan sejak enam bulan lalu sehingga kini menerima sambutan memberangsangkan daripada pengguna jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.