Sulaiman - Ab. Rauf duduk semeja, perjelas isu Ketua Menteri

Sulaiman, Ab. Rauf duduk semeja perjelas isu Ketua Menteri

SULAIMAN Md. Ali (kiri) dan Ab. Rauf Yusoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Setelah hampir dua minggu spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang didakwa bakal berlaku awal Januari ini bertiup kencang, kedua-dua figura politik yang dikaitkan dengan ura-ura itu iaitu Datuk Seri Sulaiman Md. Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tampil semeja menjernihkan suasana.

Melalui beberapa klip video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Penerangan Barisan Nasional (BN) Masjid Tanah malam tadi, Ab. Rauf berkata, dakwaan bahawa Sulaiman akan meletak jawatan untuk memberi laluan kepada dirinya bergelar Ketua Menteri Melaka Ke-14 merupakan fitnah yang ditimbulkan oleh tokoh-tokoh berkepentingan dalam arena politik negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu sekali lagi menjelaskan, pencalonan Sulaiman sebagai Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak pernah dipersoalkan kerana ia sudah diputuskan kepemimpinan tertinggi parti ketika tempoh berkempen.

Katanya, beliau dan Sulaiman kini sedang memerhatikan tingkah laku dan karakter individu-individu yang memainkan isu berkenaan hingga menghangatkan suasana dalam kerajaan negeri.

“Memang tidak dipersoalkan tentang calon Ketua Menteri waktu ketika itu. Saya ingin menegaskan kepada mereka-mereka yang berkepentingan dalam isu ini, tolong hentikanlah. Kami sebenarnya memerhatikan tingkah laku dan karakter mereka-mereka yang memainkan isu hingga menghangatkan suasana dalam Kerajaan Negeri Melaka.

“Sebenarnya apa yang kita lihat adalah angin yang sedang bertiup kencang ini hanyalah merupakan fitnah yang ditimbulkan, perkara yang dibangkitkan adalah amat memalukan dan memualkan dalam Kerajaan Negeri Melaka yang telah menang dua per tiga kepercayaan daripada rakyat.

“Adalah malang muncul tokoh-tokoh yang berkepentingan menabur fitnah kepada saya dan juga melagakan-melagakan hubungan kami berdua,” katanya.

Pada 26 Disember 2022, Utusan Malaysia melaporkan, spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang didakwa bakal berlaku awal Januari ini dinafikan Sulaiman yang juga ADUN Lendu.

Ini berikutan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa, Sulaiman akan meletak jawatan pada 3 Januari 2023 untuk memberi laluan kepada Ab. Rauf.

Dalam pada itu, Sulaiman meminta mereka yang terlibat berhenti daripada terus memainkan isu sama kerana ia hanya menimbulkan perspektif negatif yang turut mendatangkan kesan kepada pembangunan Melaka.

“Kesannya nanti kepada seluruh negeri Melaka terutama kepada rakyat. Sudah hentikanlah perkara-perkara yang pada saya tidak mendatangkan kebaikan dan keberuntungan kepada rakyat.

“Tak usah bimbang apa perkara-perkara yang disebut itu, saya bersama Ab. Rauf adalah rakan karib dan saya mohon hentikanlah segala fitnah, diayah dan pandangan negatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN