PETALING JAYA: Sepasang suami isteri ditahan reman tujuh hari selepas disyaki terbabit dalam kejadian letupan sehingga menyebabkan seorang tukang masak maut di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu.
Penahanan kedua-dua suspek masing-masing berusia 30 tahun dan 33 tahun itu dilakukan di sebuah rumah di Kedah, tengah malam tadi sebelum di bawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Pada masa ini, kedua-dua ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengesahan berhubung perkara itu dan satu kenyataan akan dimaklumkan polis dalam masa terdekat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam Jumaat lalu, seorang tukang masak maut akibat letupan bungkusan diletak di atas keretanya di depan sebuah restoran di Pandan Indah, Ampang Jaya.
Mangsa berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya, selepas dimaklumkan rakan sekerja.
Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.
Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
Polis percaya suspek kejadian letupan itu menggunakan bom buatan sendiri. Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom.
Antara bahan yang ditemukan adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri.
Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan letupan namun ia mungkin sudah hangus semasa kejadian.
Polis juga mengesyaki kemahiran membuat bahan letupan dipelajari menerusi media sosial. – UTUSAN










