SJKT Azad perkenal konsep kantin tanpa tunai - Utusan Malaysia

SJKT Azad perkenal konsep kantin tanpa tunai

WONG Han Pin (tiga dari kanan) membantu murid-murid menggunakan kad debit untuk membeli makanan di kantin SJKT Azad, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad di sini menjadi sekolah pertama di negeri ini yang melaksanakan inisiatif kantin tanpa tunai (cashless canten) dengan kerjasama Heong Leong Bank Berhad bermula hari ini.

Pengurus Wilayah Bahagian Operasi Heong Leong Bank Berhad, Wong Han Pin berkata, inisiatif itu merupakan misi bank berkenaan untuk mendidik kanak-kanak bagi mengaplikasi pembayaran tanpa tunai dalam urusan harian mereka.

”Kami memulakan langkah untuk mempromosi konsep ‘cashless canteen’ ini sejak tahun lalu di semua sekolah termasuk sekolah menengah di Pulau Pinang.

“Kami mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT Azad dan mereka bersetuju bekerjasama dan memulakan inisiatif kantin tanpa tunai di sekolah ini,” katanya selepas menghadiri program ‘cashless digital canteen’ di SJKT Azad, di sini hari ini.

Yang hadir merasmikan pelancaran inisiatif kantin tanpa tunai di sekolah itu ialah Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Menurut Han Pin, SJKT Azad menjadi sekolah perintis pertama yang memulakan langkah bersama Heong Leong Bank Berhad dalam menggalakkan murid-murid menggunakan kad debit bagi tujuan pembayaran makanan dan minuman di kantin.

”Pihak kami akan membekalkan kad debit kepada murid-murid dan ibu bapa akan mengisi kad debit berkenaan menerusi satu akaun khas.

”Dengan menggunakan kad debit itu, kanak-kanak boleh diajar untuk berbelanja tanpa tunai dan ibu bapa boleh mengawal perbelanjaan anak-anak mereka setiap hari,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menjangkakan lebih banyak sekolah terutama sekolah menengah akan menggunakan konsep kantin tanpa tunai seperti yang dilaksanakan di SJKT Azad dalam masa terdekat.

”Konsep tanpa tunai ini sedang berkembang pesat dan kad debit ini juga boleh digunakan di mana-mana lokasi yang menggunakan konsep tanpa tunai,” katanya.

Dalam pada itu, guru besar sekolah berkenaan, A. Seri Jeevagowry berkata, pada masa ini seramai 65 daripada 82 murid di sekolah berkenaan akan menggunakan kad debit untuk membeli barangan di kantin.

“Murid-murid lain akan menggunakan kad debit ini secara berperingkat selepas ini dan kita berharap konsep kantin tanpa tunai ini akan membuka lembaran baharu terhadap literasi kewangan murid-murid di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya