Siap siaga hadapi banjir lebih buruk

Siap siaga hadapi banjir lebih buruk

ARMIZAN MOHD ALI bertanya khabar dan berbual dengan mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek, Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Semua agensi diarah meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi musim tengkujuh yang boleh menyebabkan banjir lebih buruk berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan itu bagi memastikan operasi menyelamat termasuk proses memobilisasikan logistik dapat dilakukan secara lebih sistematik.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah memastikan semua Pusat Kawalan Operasi (PKOB) di peringkat negeri dan daerah mengambil langkah lebih peka dengan sebarang kemungkinan banjir yang bakal berlaku di kawasan mereka.

“Pada masa ini fokus utama adalah di tiga negeri yang sedang dilanda banjir, iaitu Johor, Sabah dan Pahang. Matlamat kita adalah memastikan dapat menyelaraskan semua agensi yang terlibat.

“Kedua, kita akan memastikan masyarakat mendapat maklumat penting dan sekiranya hujan berterusan agensi keselamatan mengarahkan penduduk berpindah, kita harap masyarakat tidak bertangguh,” katanya ditemui semasa melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Tasek, di sini, hari ini.

Armizan berharap penduduk terlibat sentiasa mematuhi arahan agensi berwajib yang mengambil kira keselamatan nyawa masyarakat.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih peka dengan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) selain tidak bertangguh sekiranya diarahkan untuk berpindah ke PPS,” katanya.

Dalam pada itu, daerah ini mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 1,417 mangsa daripada 399 keluarga ditempatkan di 16 PPS setakat ini.

Johor merupakan negeri yang terjejas teruk dengan merekodkan seramai 3,967 mangsa banjir daripada 1,104 keluarga ditempatkan di 41 PPS seluruh negeri ini hingga petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya