KUALA LUMPUR: Sembilan tokoh disebut-sebut bakal merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Mac ini.
Daripada sembilan orang yang dikatakan ingin bertanding, tiga daripadanya ialah penyandang jawatan berkenaan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ahli UMNO yang dilabel propresiden turut dijangka bertanding seperti Datuk Seri Zambry Kadir, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Hasni Mohammad turut dikatakan berminat untuk bertanding bagi jawatan berkenaan.
“Ahli Parlimen Sembron, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin juga hendak bertanding jawatan Naib Presiden, tetapi mreka sudah dipecat dan digantung. Tinggal sembilan nama yang ada dalam senarai setakat ini,” kata sumber ketika dihubungi, semalam.
Kesemuanya yang disenaraikan itu pernah mempunyai jawatan dalam parti iaitu Zambry sebelum ini adalah Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Shamsul Anuar (Ketua Penerangan BN) manakala Asyraf Wajdi adalah Ketua Pemuda UMNO 2018-2021 dan Azalina bekas Ketua Puteri UMNO.
Sementara itu Johari adalah Ketua UMNO Bahagian Wilayah serta merupakan satu-satunya Ahli Parlimen UMNO yang memenangi kerusi bandar iaitu di Parlimen Titiwangsa manakala Hasni adalah bekas Menteri Besar Johor.
Dilaporkan, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan pemilihan parti itu bermula 1 Februari ini melibatkan mesyuarat dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri cawangan.
Bagi tarikh pendaftaran calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat, ia bermula 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari pukul 5 petang. – UTUSAN










