KUALA LUMPUR: Semakan semula difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekal sabitan salah dan hukuman terhadapnya selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd, didengar hari ini.
Pendengaran semakan itu didengar oleh panel hakim berlainan dengan panel hakim yang mengekalkan keputusan terdahulu.
Semakan itu sebelum ini ditetapkan untuk pendengaran selama tiga hari iaitu pada 19, 20 dan 26 Januari ini namun tarikh 20 dan 26 Januari 2023 telah dilapangkan.
Permohonan semakan itu dibuat mengikut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 yang memperuntukkan: “Untuk menghapuskan keraguan, adalah dengan ini diisytiharkan bahawa tiada apa-apa pun dalam peraturan ini boleh dianggap mengehadkan atau menjejaskan kuasa budi bicara mahkamah untuk mendengar sebarang permohonan atau membuat sebarang perintah yang mungkin perlu bagi mengelak ketidakadilan atau mengelak penyalahgunaan proses mahkamah.”
Pada 6 September 2022, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan semakan terhadap keputusan panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas alasan haknya untuk mendapatkan perbicaraan adil sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan.
Pada 23 Ogos 2022, panel lima hakim yang diketuai Hakim Tengku Maimun sebulat suara mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.
Turut bersidang pada tarikh tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan; Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.
Dengan keputusan tersebut, Najib mula menjalani hukuman penjaranya di Penjara Kajang pada tarikh yang sama.
Antara alasan yang dikemukakan Najib dalam notis usul semakan itu ialah Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar dan memutuskan kes itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mempunyai konflik kepentingan apabila mendengar perbicaraan itu kerana beliau merupakan bekas Kaunsel Kumpulan Maybank yang memberikan pinjaman kepada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau juga menyatakan, pasukan pembelaan yang baharu tidak diberikan ruang dan peluang untuk bersedia sebelum boleh berhujah dalam rayuan akhir itu.
Najib juga mendakwa pendengaran rayuan akhir itu telah dijalankan secara sebelah pihak (ex-parte) apabila tiada hujahan daripada pihak pembelaan.
Selain itu, bekas Presiden UMNO itu menyatakan berlaku konflik kepentingan apabila Hakim Tengku Maimun enggan menarik diri daripada mendengar rayuan tersebut sedangkan suaminya, Datuk Zamani Ibrahim dengan menunjukkan rasa tidak senang terhadap Najib sejak Mei 2018.
Oleh itu, Najib antara lain memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukumannya sehingga semakan itu diputuskan.
Beliau turut memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.
Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.
Secara keseluruhannya, keputusan-keputusan yang dimohon oleh bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk disemak semula ialah:
* Keputusan yang menolak permohonan pembelaan untuk memasukkan bukti baharu berkaitan Hakim Bicara, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan membatalkan perbicaraan kes itu.
* Keputusan yang menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir tersebut.
* Keputusan yang menolak permohonan pembelaan agar Hakim Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan akhir tersebut.
* Keputusan untuk mengesahkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi di sini.
* Keputusan berhubung kegagalan Mahkamah Persekutuan untuk meminta pihak-pihak berhujah secara berasingan mengenai hukuman. – UTUSAN










