KUANTAN: Kerajaan berisiko menanggung perbelanjaan sehingga RM250 juta sebulan jika pengamal homoseksual menghidap HIV peringkat lanjut yang memerlukan rawatan di hospital.
Jumlah itu hanya membabitkan 10,000 pengamal homoseksual berbanding lebih 300,000 menurut hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2018.
Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) berpandangan, perkara itu bagaimanapun boleh dikawal jika kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan memberi golongan terbabit ubat pre-exposure prophylaxis (PrEP) untuk mencegah transmisi HIV.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pengamal homoseksual adalah golongan yang berisiko mendapat jangkitan HIV, hepatitis B dan C.
Justeru katanya, Kementerian Kesihatan wajar memperkenalkan ubat PrEP kepada golongan tersebut untuk pencegahan.
“Jika tidak diberikan ubat PrEP kepada golongan homoseksual dan dijangkiti HIV, mereka perlu dibawa ke hospital kerajaan untuk rawatan. Seorang pesakit HIV peringkat lanjut, kos sekitar RM20,000 ke RM25,000 sebulan jika sudah dimasukkan ke hospital.
“Kos ini tentu perlu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ambil contoh 10,000 orang daripada lebih 300,000 golongan homoseksual dijangkiti HIV dan perlu mendapatkan rawatan di hospital, perbelanjaan cukup besar sehingga RM250 juta sebulan perlu dibelanjakan kerajaan,” katanya di sini semalam.
Khamis lalu, Jabatan Mufti Negeri Selangor dilaporkan melarang pemberian ubat PrEP yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV kepada pasangan homoseksual.
Jabatan itu dilaporkan berkata, pengambilan atau pemberian ubat berkenaan hanya diharuskan kepada pasangan suami isteri.
Kata jabatan tersebut, pemberian kepada mereka yang diketahui mengamalkan cara hidup homoseksual adalah dilarang kerana dianggap bersubahat dalam perkara dosa dan kemaksiatan.
PrEP ialah ubatan oral yang digunakan untuk mencegah jangkitan HIV melalui hubungan kelamin ataupun penggunaan jarum suntikan.
Buat masa ini, PrEP diberikan kepada individu berstatus HIV-negatif yang berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut, seperti pasangan kepada individu yang menghidap HIV.
Dr. Boi Saidi berkata, daripada sudut pandang perubatan, adalah menguntungkan jika Kementerian Kesihatan mula memberikan ubat ini kepada golongan homoseksual.
Ubat PrEP, katanya, tidak semestinya diberikan secara percuma, tetapi boleh diberikan preskripsi kepada golongan itu dan dibeli di farmasi atau klinik swasta.
“Dasar perubatan pemberian ubat ini, jika golongan homoseksual ini dijangkiti HIV, hepatitis B dan C tahap lanjut, mereka tetap terpaksa dirawat di hospital kerajaan dan rawatannya pula cukup mahal serta perlu ditanggung oleh pembayar cukai.
habis
“Jadi, sebaiknya Kementerian Kesihatan memperkenalkan ubat ini (PrEP) kepada golongan homoseksual,” katanya. – UTUSAN










