PETALING JAYA: Seorang banduan dikenali sebagai Sufian dan penghuni tirai besi lain yang telah menjalani dua pertiga hukuman penjara perlu dibantu untuk kembali semula ke pangkuan keluarga sama ada melalui pengampunan diraja dan pelbagai lagi proses undang-undang.
Menurut pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat, ibu kepada pemuda berkenaan yang dikenali sebagai Salmah kini sedang berusaha mendapatkan perhatian pihak berkuasa untuk memberi kebebasan kepada anaknya yang telah meringkuk dalam penjara selama 20 tahun.
Menurut Khairul Anwar, Sufian berusia 19 tahun ketika mula dipenjara dan kini sudah pun berusia 39 tahun, telah menjadi penghuni di sebalik jeriji besi 20 tahun lamanya.
Justeru kata beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Khidmat Guam serta yayasan tertentu bagi mengangkat kes ini untuk perhatian pihak berwajib setelah meneliti fakta kes dan perkembangan terkini undang-undang negara.
“Ketika kita menyambut Tahun Baharu 2023 dengan pelbagai cita-cita, seorang ibu di hujung kampung sarat dengan derita menanggung rindu terhadap anaknya Sufian.
“Iltizam dan misi kami, sudah tentulah membantu saudara Sufian dan seberapa ramai penghuni tirai besi kembali ke pangkuan keluarga terutama mereka yang telah menjalani 2/3 daripada hukuman penjara, diperkenankan pengampunan diraja, berkelakuan baik serta diyakini telah melalui proses pembetulan peribadi,” katanya dalam Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Khairul Anwar berharap tahun 2023 membawa sinar bahagia kepada Salmah dengan kembalinya Sufian dalam dakapan kasih seorang ibu.
“Semoga Allah mengangkat munajat Mak Cik Salmah dan mempermudah usaha serta iltizam kita,” katanya. – UTUSAN