KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, meluahkan kekecewaan terhadap segelintir netizen yang bertindak mengecam ibu mentuanya, Datin Patimah Ismail berhubung kemelut rumah tangganya dengan pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof.
Menurut Puteri Sarah, ibu mana yang tidak terguris hati dengan tindakan anak kandung yang tergamak membelakangkan keluarga dalam keputusan hidup yang dibuat.
“Saya faham sangat perasaan ibu mentua dan tahu kenapa dia marah serta ada kala sedih. Orang ramai banyak kecam dia dan ada sebab kenapa dia meluahkan ketidakpuasan hati.
“Hanya Sarah, pihak belah sana (keluarga Ira Kazar) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tahu mengenai isu ini. Tiada siapa yang marah atau meroyan tiba-tiba tanpa sebab. Sebelum kecam, cari dulu dan tanya apakah alasan sebenar dan kenapa saya berdiri di mahkamah ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Kelmarin, Patimah meluahkan isi hatinya terhadap tindakan Ira Kazar yang disifatkan sebagai perampas kebahagiaan keluarga menantunya itu menerusi Instagram Story yang dimuat naik sehingga tertera perkataan ‘laknat’.
Dalam pada itu, Puteri Sarah turut berterima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya, termasuk mengambil berat konflik rumah tangga yang dilaluinya.
“Saya bersyukur sangat dengan sokongan tanpa henti peminat yang sentiasa berada di belakang. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Puteri Sarah yang berpakaian serba hitam hadir ke mahkamah dengan ditemani dua adiknya dan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader bagi memfailkan perceraian terhadap Syamsul, pagi tadi.
Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.
Syamsul sebelum ini, memaklumkan sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah, malah meminta isteri pertamanya itu pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar Saisi melalui satu rakaman video di Instagram.
Pengakuan itu mengundang reaksi negatif daripada orang ramai, termasuk ibu bapa Syamsul yang tidak merestui perkahwinan kedua anak sulungnya itu.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.